Ahad, Disember 27, 2015

Mawlid - Fatwa Abu Syaamah

Syaikh Imam Syihabuddin Abi Muhammad `Abdul Rahman bin Ismail bin Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Imam Abu Syaamah rahimahullah. Beliau dilahirkan dalam tahun 599H dan wafat dalam tahun 665H. Imam Abu Syaamah adalah Imam dan panutan dalam berbagai cabang ilmu-ilmu Islam, sejak usianya di bawah 10 tahun beliau sudah menghafal al-Quran dan menguasai ilmu-ilmunya termasuk 7 qiraat yang masyhur. Bahkan dalam usia seawal 16 tahun, beliau telah menulis satu syarah bagi "Hirzul Amani wa Wajhut Tahaani fi Qiraatis Sab`i" karangan Imam asy-Syatibi rahimahullah. Di antara guru-guru beliau adalah Sulthanul Ulama` Syaikh `Izzuddin ibnus Abdus Salam, Imam Ibnu `Asakir dan Imam al-Amiidi rahimahumullahu.

Ternyata Imam Abu Syaamah seorang 'alim 'allamah, faqih, muhaddits, muarrikh dan ahli lughah yang handal sehingga Imam as-Subki  rahimahullah menyatakan bahawa Imam Abu Syaamah al-Maqdisi telah mencapai darjat mujtahid mutlak. Sungguhpun begitu, beliau bersetuju dengan ijtihad Imam asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu dan tetap berpegang dengan mazhabnya yang agung. Cukuplah satu kebanggaan bagi Imam yang agung ini apabila Imam an-Nawawi rahimahullah adalah salah seorang murid beliau. Imam Abu Syaamah meninggalkan beberapa karangan yang bernilai tinggi, antaranya:-
  1. Mukhtashar Tarikh Dimasyq (20 jilid);
  2. Syarah bagi kitab hadits al-Muqtafa fi bahtsil Mushtofa;
  3. Dhiya-ul Qamar as-Sari ila Ma'rifatil Baari;
  4. Al-Ba`its 'ala Inkaril Bida` wal Hawadits.
  5. ar-Raudhatain fi Akhbarid Daulatain
  6. Ibraazul Ma`ani
  7. al-Mursyid al-Wajiz 
  8. al-Wushul fil Ushul
  9. Mufradat al-Qurra`
Karya beliau yang berjodol "al-Ba`its 'ala Inkaril Bida' wal Hawaadits" yang membicarakan tentang perkara-perkara bid`ah dan baharu. Oleh itu jangan ingat para ulama kita Ahlus Sunnah wal Jama`ah tidak faham mengenai bid`ah dan tidak memerangi bid`ah-bid`ah yang mungkar. Imam Abu Syaamah dalam kitabnya ini sependapat dengan para ulama salaf terdahulu terutamanya Imam Agung Muhammad bin Idris asy-Syafie radhiyaAllahu `anhu apabila membahagikan bid`ah kepada dua, iaitu bid`ah hasanah / bid`ah mustahibbah / bid`ah mahmudah dan bid`ah mustaqbihah / bid`ah madzmumah / bid`ah dhalalah.  Mengenai sambutan Mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, maka Imam Abu Syaamah dengan jelas menyatakan ianya adalah bid`ah hasanah yang terbaik. Pada halaman 21 kitab tersebut, beliau rahimahullah menyatakan:-

"Maka bid`ah al-hasanah:- Telah disepakati (yakni para ulama telah sepakat) tentang harus (boleh) untuk dilakukan dan disukai baginya (yakni dihukumkan mustahab untuk diamalkan) serta diharapkan pahala bagi sesiapa yang melakukannya dengan niat yang baik ............. Dan daripada sebaik-baik perkara bid`ah yang diada-adakan pada zaman kita dari sisi ini (yakni dari sisi ianya sebagai suatu bid`ah hasanah) adalah apa yang telah dilakukan di Kota Irbil, moga-moga Allah memeliharanya, pada setiap tahun pada hari yang bertepatan dengan hari kelahiran (mawlid) Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dengan perlaksanaan berbagai sedekah dan perkara makruf serta menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya yang sedemikian itu beserta dengan berbuat ihsan kepada segala fakir padanya adalah tanda adanya kecintaan kepada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan membesarkan serta memuliakan baginda dalam hati si pelakunya, juga tanda kesyukuran kepada Allah ta`ala atas anugerahNya dengan mewujudkan rasulNya shallaAllahu `alaihi wa sallam wa 'ala jami`il mursalin yang diutuskan sebagai rahmat bagi sekalian alam. Dan adalah orang yang mula-mula melakukan yang sedemikian itu di Maushul (Mosul) adalah Syaikh Umar bin Muhammad al-Malla, salah seorang daripada kalangan orang - orang salih yang masyhur yang dijadikan ikutan dengannya pada yang sedemikian oleh Raja Irbil dan yang lain-lain rahimahumullahu ta`ala."
Allahu .... Allah, cukuplah bagi kita yang punya akal untuk mengambil pelajaran daripada apa yang dinyatakan oleh Imam Abu Syaamah ini. Dan jika pun kita berpendapat sebaliknya, maka setidak-tidaknya akal kita hendaklah bijak untuk meraiekan pendapat ini walaupun kita tidak bersetuju dengannya. Maka janganlah dihujjat umat yang ramai daripada merayakan sambutan Mawlid Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Jika dah tak setuju, maka tak dapek den nak nolongnya. Duduklah diam-diam sambil membaca shalawat Ibrahimiyyah lagi elok daripada membid`ahsesatkan orang lain.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mohon share ust