Jumaat, Mac 13, 2015

Yaasin Malam Jumaat - Imam Ghazali

Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali rahimahullah adalah salah seorang ulama besar dan wali Allah yang menjadi ikutan umat Islam. Tiada siapa yang boleh menyangkal keilmuan, keikhlasan dan ketakwaan beliau, melainkan mereka-mereka yang sememangnya dalam hatinya ada penyakit. Pengaruh Hujjatul Islam memang sudah sedia sebati dalam kehidupan beragama datuk nenek kita sejak mula Islam berkembang dan bertapak di Nusantara. Oleh itu, usahlah dipedulikan golongan - golongan baru yang "konon"nya hendak menegakkan sunnah, namun seribu kali sayang perbuatan mereka tidak ubah seperti tikus membaiki labu. 

Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, "Bidayatul Hidayah" dalam bab "Adaabul Jum`ah" mengenai adab - adab pada hari Jumaat menulis, antara lain, sebagai berikut:-
".... Dan daripada yang disunatkan juga adalah engkau membaca dalam empat rakaat sholat sunnat (mutlak) empat surah, iaitu surah al-`An`aam (pada rakaat pertama), surah al-Kahfi (pada rakaat kedua), surah Thaha (pada rakaat ketiga) dan surah Yaasin (pada rakaat keempat). Jika sekiranya engkau tidak mampu melakukannya dengan surah - surah tersebut, maka engkau bacalah surah Yaasin (pada rakaat pertama), surah as-Sajadah (pada rakaat kedua), surah ad-Dukhan (pada rakaat ketiga) dan surah al-Mulk (pada rakaat keempat). Dan jangan engkau tinggalkan membaca surah - surah ini pada MALAM JUMAAT kerana padanya terdapat kelebihan yang banyak. Sesiapa yang tidak mampu membaca yang sedemikian, maka hendaklah dia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan membanyakkan membaca shalawat ke atas Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, istimewanya pada hari ini (yakni hari Jumaat).......
Jelas bahawa Hujjatul Islam rahimahullah menganjurkan kita membaca surah - surah yang mulia tersebut termasuklah surah Yaasin pada malam Jumaat. Memandangkan surah Yaasin itu telah sedia melekat kat bibir masyarakat kita, maka di mana salahnya untuk ianya dibaca pada malam Jumaat. Kalau kita tak mampu nak baca semua surah tersebut, maka kita bacalah apa yang mampu. Tinggalkanlah kerja membid`ahkan amalan yang bukannya bid`ah kerana mempunyai dasar dalam agama bahkan sebahagian daripada amalan agama.  Oleh itu, jika ustaz atau proztaz yang membid`ahkannya, kirim salam aje kat dia, habaq kat dia kami ikut anjuran Hujjatul Islam yang lebih faham agama ini berbanding kamu.

Tiada ulasan: