Khamis, Februari 19, 2015

Shalawat Imam asy-Syafi`i

Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya yang masyhur, "Ihya` 'Ulumiddin", jilid 1, halaman 368, menukilkan kisah yang Syaikh Abul Hasan telah bermimpi berjumpa dengan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan beliau telah bertanya kepada baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam mengenai ganjaran yang diberikan kepada Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu atas ungkapan shalawat beliau dalam kitabnya "ar-Risalah" yang berbunyi:

Maka Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam bersabda: "Balasannya daripada aku adalah dia tidak perlu menghadapi hisab."

Allahu .... Allah, tetapi hendaklah kita faham bahawa semua kelebihan itu tertakluk kepada cukupnya sesuatu. Jika amalan yang wajib pun tak cukup macam mana nak kira lebih ? Janganlah apabila mengamalkan shalawat ini, maka kita pun perasan atau syok sendiri yang kita ni sama macam Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Walau bagaimana pun adalah harus bagi Allah untuk melakukan apa jua kehendakNya, maka sentiasalah kita mengharapkan rahmat dan kasih - sayangNya.

Selanjutnya, Shahibul Qamus, Syaikhul Islam Imam Majdudin Muhammad bin Ya'qub al-Fairuzabadi rahimahullah yang wafat tahun 817H turut menukilkan kisah yang serupa seperti di atas dengan komentar bahawa beliau meriwayatkan kisah tersebut dengan sanad yang shahih daripada Syaikh Abul Hasan asy-Syafi`i rahimahullah. Hal ini beliau catat dalam karya beliau yang berjodol: "ash-Shilaatu wal Bisyru fish Sholaati `ala Khairil Basyar", pada halaman 162.

Terdapat banyak kisah mengenai shalawat Imam Syafi`i ini. Selain daripada kisah ulama bermimpikan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam dan bertanya mengenai shalawat Imam asy-Syafi`i, maka ada juga riwayat yang menceritakan bagaimana ulama lain bermimpi berjumpa dengan Imam asy-Syafi`i dan bertanya mengenai hal keadaannya setelah wafat. Idola dan panutan Kaum Muda(h), Ibnu Qayyim al-Jawzi, turut menukilkan kisah mengenai shalawat Imam asy-Syafi`i ini. Dalam karyanya "al-Jalaa-ul Afham", pada halaman 242, dia meriwayatkan bahawa Syaikh `Abdullah bin al-Hakam rahimahullah telah bermimpi melihat Imam asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu dan beliau bertanyakan kepadanya mengenai keadaannya setelah wafat. Imam asy-Syafi`i telah memaklumkan kepadanya bahawa beliau berada dalam kasih sayang Allah dan ampunanNya, bahkan beliau diarak ke syurga seperti perarakan pengantin. Semua ini beliau perolehi atas ucapan shalawat yang beliau tulis dalam kitabnya ar-Risalah, di mana shighahnya adalah sama yang dalam riwayat Imam Hujjatul Islam al-Ghazali tadi.

Kisah - kisah mimpi ini hanyalah sebagai motivasi sahaja untuk kita memperbanyakkan shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hukum bershalawat tidak diistinbat daripada kisah - kisah mimpi, kerana ketentuan hukum bershalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, telah tsabit daripada nas al-Quran dan as-Sunnah. Dan tidaklah boleh dikatakan bahawa segala shighah tersebut adalah bid`ah kerana Imam asy-Syafi`i yang merupakan salah seorang pemuka salafus sholeh telah menulis shighah shalawat tersebut dalam karangan beliau yang masyhur "ar-Risalah" sewaktu beliau hidup berjalan atas muka bumi Allah ini lagi. Pasti Imam asy-Syafi`i, yang ilmu dan taqwanya tidak dipertikaikan, mujtahid mutlak lagi mujaddid, yang lidahnya Quraisy, lebih faham erti 'bid`ah" daripada seorang mufti recycle. Apa-apa pun kalau ada juga yang nak menyalahkan Imam asy-Syafi`i mengenai persoalan ini, gasaklah sebab hidayah itu milik Allah ta`ala. Namun ada baiknya jika dia pergi kedai, beli cermin dan tengok muka dulu sebelum nak tolak Bahrul `Ulum, Imam al-Muthallibi al-Qurasyi, Muhammad bin Idris asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Semoga dengan banyak bershalawat kita mendapat rahmat dan kasih sayang Allah subhanahu wa ta`ala serta syafaat Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallama tasliman katsiran katsiran katsira.

Tiada ulasan: