Jumaat, Julai 18, 2014

Lebih Mulia Dari Arasy

Persoalan menghadapkan wajah ketika berdoa di hadapan makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah suatu perkara yang telah menjadi khilaf di kalangan para ulama. Namun, jumhur ulama daripada kalangan mazhab Ahlus Sunnah wal Jama`ah berpendapat bahawa menghadapkan wajah ke arah makam Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam ketika berdoa sewaktu menziarahi baginda di Kota al-Madinah adalah amat dianjurkan berbanding dengan perbuatan membelakangkan baginda untuk menghadap ke arah lain termasuklah arah kiblat. Maka inilah perbuatan yang telah sekian lama dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin zaman berzaman ketika menziarahi Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersemayam di Kota Madinah al-Munawwarah. Di mana mereka akan menghadapkan wajah mereka ke arah Baginda sambil memanjatkan doa kepada Allah `azza wa jalla dengan wasilah Baginda. Tidak ada sesiapa yang menyalahkan perbuatan mereka tersebut, sehinggalah datang kaum Najdi yang mengharamkan perbuatan tersebut. Bagi pihak Najdi, jihat qiblat itu lebih diutamakan berbanding Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Saking taksubnya mereka dengan pandangan mereka ini, sehingga mereka bertindak untuk memaksa kaum muslimin, samada dengan keras atau dengan lembut, untuk menerima pendapat mereka sahaja tanpa menghiraukan adanya perbezaan pendapat dalam masalah ini.

Apakah mereka tidak mengetahui bahawa Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang jasad baginda bersemayam dalam makam yang mulia tersebut adalah ciptaan Allah subhanahu wa ta`ala yang paling mulia dan utama. Mungkin juga mereka jahilkan perkara ini dan kejahilan tersebuttelah menutup fikiran mereka, sehingga dalam sesetengah kitab karangan para ulama tercatat kisah seekor baghal ...... opss silap seorang badwi pengikut Ben Wahab ............ pernah menyatakan bahawa kayu yang dipegangnya lebih bermanfaat berbandingkan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang telah wafat kerana kayu tersebut boleh diguna untuk memukul tunggangannya. Juga pernah ada di kalangan ulama kontemporari mereka yang tanpa segan silu memfatwakan bahawa sehingga ke saat beliau berfatwa itu, beliau tidak mengetahui samada warid yang Baginda Nabi shallaAllahu `alahi wa sallam adalah makhluk Allah yang paling mulia secara mutlak. Allahu .... Allah, kejahilan apakah ini ????? Tidakkah mereka mengetahui bahawa kemuliaan `arsy, syurga, ka'bah dan segala makhluk lain semulia mana pun tidak dapat sekali-kali menyaingi kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Hal ini diakui sendiri oleh ulama yang jadi idola kaum Najdi, di mana Syaikh Ibnu Qayyim al-Jawziyyah dalam karyanya "Badaa-i`ul Fawaaid" juzuk ke-3, halaman 655 menukil seperti berikut: 
Telah berkata Ibnu `Aqil: " Seseorang telah bertanya kepadaku: "Apakah yang lebih utama (afdhal) hujrah Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam (yakni makam Baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam) atau Ka'bah?" Maka aku menjawab: Jika yang engkau maksudkan semata-mata hujrah, maka Ka'bah lebih afdhal. Namun jika yang engkau maksudkan adalah keberadaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang bersemadi di dalamnya, maka demi Allah, tidak (yakni tidaklah Ka'bah lebih afdhal daripadanya), tidak pula 'arasy dan para malaikat yang memikulnya, tidak juga syurga `aden, tidak juga segala bintang yang beredar, ini adalah kerana dalam hujrah tersebut terkandung satu jasad (yakni jasad Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam) yang jika dibandingkan dengan alam semesta dan segala isinya nescaya ia akan mengungguli semuanya (yakni tiada satu pun kejadian atau ciptaan Allah ta`ala yang dapat mengatasi keagungan dan kemuliaan Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam.)
Allahu ... Allah, shallaAllahu wa sallama `alan Nabiyil Karim, maka wajarkah jika kita putarkan wajah kita daripada menghadap ke arah ciptaan Allah yang paling mulia, tanpa ada nash untuk mensyariatkan perbuatan tersebut ? Sesungguhnya baginda shallaAllahu `alaihi wa sallam adalah Washilatul `Udzhma yang tidak wajar untuk dibelakangkan ketika bermunajat kepada Allah subhanahu wa ta`ala. Maka ambillah pengajarannya wahai kaum yang mahu berfikir, beradablah dengan Rasul kalian dan jangan biadab.

Tiada ulasan: