Ahad, Mei 11, 2014

Minhajuth Thalibin - Habib `Umar

"Minhajuth Thalibin wa Umdatul Muftin" adalah antara karya monumental al-Imam al-Quthub Abi Zakaria Muhyiddin an-Nawawi rahimahullah. Ianya adalah antara materi penting yang menjadi kajian dan rujukan para pengikut mazhab Sulthan al-A-immah Imam Muhammad bin Idris asy-Syafi`i radhiyaAllahu `anhu. Almarhum KH Sirajuddin Abbas rahimahullah menyatakan bahawa kitab ini adalah satu - satunya kitab fiqih agama Islam yang mula-mula masuk ke Indonesia dan kitab ini juga telah dijadikan teks utama dalam pengajian fiqh Syafi`i di berbagai pondok, madrasah, pesantren dan masjid sejak kurun ke-7H lagi.

Ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana para ulama di Timur Tengah juga mempunyai pandangan yang tinggi kepada karya Imam an-Nawawi radhiyaAllahu `anhu ini. Tidak ketinggalan juga para ulama Ahlil Bait di Hadhramaut, sehingga ramai daripada mereka yang menghafal kitab ini. Shahibur Ratib al-Habib `Umar bin `Abdur Rahman al-`Aththas rahimahullah sentiasa memberikan perhatian yang khusus kepada kitab ini. Bahkan beliau telah berpesan kepada murid - muridnya, Syaikh `Abdullah Baubad rahimahullah dan Syaikh `Ali Baras rahimahullah untuk mentelaah kitab "Minhajuth Thalibin" ini dan menyatakan :-
Kitab ini mengandungi penuh berkat kerana ia padat dengan ilmu. Kenapa tidak, kerana Imam an-Nawawi adalah penghulu segala wali dan dia mendoakan kepada mereka yang membaca kitab tersebut. Dan sesiapa yang membacanya nescaya akan dibukakan Allah ta`ala rahsia-rahsia ilmu zahir dan batin.  
Perhatian yang diberikan oleh para ulama terhadap kitab ini sungguh luar biasa. Berpuluh - puluh syarah bagi kitab ini telah ditulis oleh ramai ulama kenamaan. Antara yang masyhur yang menjadi rujukan penting dalam mazhab asy-Syafi`i adalah "Tuhfatul Muhtaj" karya Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, "Nihayatul Muhtaj" karya Imam Syamsuddin ar-Ramli rahimahullah dan "Mughnil Muhtaj" karya Syaikh Muhammad Syarbaini al-Khatib rahimahullah. Mudah-mudahan Allah `azza wa jalla membalas Muhyiddin an-Nawawi dan segala ulama dengan sebaik-baik balasan atas segala usaha mereka dalam memartabatkan ilmu dan hukum Allah atas muka bumi ini. 

Tiada ulasan: