Rabu, April 30, 2014

Doa Ibnu `Abbas RA

Perbuatan mengarang doa - doa dan shalawat - shalawat dengan berbagai rupa bentuknya sebenarnya telah dilakukan oleh sebahagian sahabat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak mengharamkan kreativiti seseorang untuk berkarya hatta dalam bentuk susun kata doa, munajat, ibtihalat, qasidah, shalawat dan lain - lain. Selagi mana sesuatu karya itu berkitar dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh syariat, maka tiada alasan untuk melarangnya. Jika sesuatu doa atau shalawat itu tidak warid daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, tidak bererti yang ianya tidak boleh dijadikan amalan walaupun yang warid daripada Baginda Muhammad shallaAllahu `alaihi wa sallam sudah tentu lebih afdhal dan terbaik kerana keluar daripada bibir makhluk Allah ta`ala paling agung yang tiada sabdaanya melainkan atas wahyu daripada Allah `azza wa jalla. Sepupu Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam Sayyidina `Abdullah bin al-`Abbas radhiyaAllahu `anhuma, diriwayatkan pernah melantunkan satu doa buat Baginda Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam yang sering dikutip dalam kitab - kitab shalawat ke atas Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Imam al-Qadhi al-Hafiz Ismail bin Ishaq al-Azdi al-Jahdhomi al-Basri rahimahullah meriwayatkan dalam karangannya "Fadhlush Shalaati `alan Nabiy shallaAllahu `alaihi wa sallam" pada halaman 91 bahawasanya Thawus rahimahullah berkata:
"Aku telah mendengar Sayyidina Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma mengucapkan: " Allahumma taqabbal syafaa`ata Muhammadinil kubra, war-fa' darajatahul `ulyaa, wa a'thi-hii su'lahuu fil aakhirati wal uulaa, kamaa aataita Ibraahiima wa Muusaa". (Ya Allah, terimalah permohonan syafaat Junjungan Nabi Muhammad yang agung, tinggikanlah darjat kedudukan baginda yang muliai, kurniakanlah kepadanya segala permohonannya dalam hal akhirat dan dunia, sebagaimana anugerahMu kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa.)
Sanad riwayat Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma di atas adalah shahih. Maka adakah sesiapa daripada kita yang berani menghukum Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma sebagai membuat bid`ah kerana menyusun doa seperti di atas. Oleh itu, jika pun sesuatu lafaz doa atau shalawat itu tidak warid datangnya daripada Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam, ianya tetap boleh diamalkan selagimana ungkapan yang digunakan adalah layak dan selari dengan syariat Junjungan Nabi shallaAllahu `alaihi wa sallam. Sesungguhnya agama ini umpama pohon rendang yang hidup dan tumbuh subur sepanjang zaman sehingga para penganutnya yang bertambah dari hari ke sehari dapat bernaung di bawah naungannya yang semakin rimbun dan indah mengikut peredaran zaman sambil menikmati buah-buahnya. Tidaklah agama ini diibaratkan seperti batu yang hanya keras membatu sepanjang waktu.

1 ulasan:

AyaqSejuk berkata...

Kemanisan yg membasahi hati yg kering dan gersang