Jumaat, Mac 28, 2014

Selawat Shifa` - Ustaz Ahmad Haris

Shifa' dan Tib bererti penyembuh dan obat bagi orang yang sedang sakit. Selawat ini juga sering kedengaran dibaca oleh orang - orang alim dan ianya juga adalah mujarab jika diulang bacaannya seberapa banyak yang termampu, misalnya 100 kali setiap hari, sehingga disembuhkan penyakit...... 

Sebenarnya amalan berdoa dengan keberkatan membaca selawat adalah termasuk di dalam pengertian " bertawassul dengan amalan soleh " yang telah diterangkan sebelum ini. Ini ialah kerana berselawat adalah perkara yang amat disunatkan, bahkan diwajibkan membacanya dalam waktu - waktu tertentu, dan bertawassul dengan zikir selawat bermakna si pembaca meminta kepada Allah Taala dengan fadhilat bacaan selawat ini agar diperkenankan segala doa - doa dan hajat -hajat ...

Jika anda menghidap bisa - bisa di kaki atau di badan, ataupun mengidap sakit jantung, cubalah amalkan bacaan selawat ini serta diludahkan sedikit di tapak tangan dan disapu di tempat yang sakit. Lebih baik lagi jika disapukan dengan minyak bam atau lain - lain dan disapukan sambil teruskan membaca selawat ini, insyaAllah sebagaimana yang telah dialami oleh beberapa orang yang telah mencubanya, Alhamdulillah boleh dirasakan perbezaannya serta mendapat kesihatan yang bertambah baik.
- "Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup", hal. 185

Rabu, Mac 26, 2014

Shalawat Thibbiyyah - Kalam Habib Ahmad

Shalawat Thibbiyyah atau lebih dikenali sebagai Shalawat Syifa` pernah dihukum oleh kaum muda(h) pengkagum Ben Wahab sebagai shalawat yang haram untuk diamalkan kerana bukan setakat dikatakan bid`ah tetapi turut divonis sebagai mengandungi kesyirikan .... Allahu ... Allah. Makanya puak Indera Kayangan pada 29 Januari 2007 telah mempetuakan sebagai berikut:-
 "Selawat adalah sesuatu yang sangat dituntut oleh syarak, namun "selawat syifa" yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. Bahkan kandungan selawat ini amat mengelirukan dan bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul saw. Adapun andaian-andaian sesetengah pihak dalam membela maksud selawat tersebut tidak dapat diterima dari segi ilmiahnya."
Jadi kalau kome ke Indera Kayangan, jangan baca Shalawat Syifa` sebab deme dah kata sesat, itupun kalau kome setuju dengan petua mereka. Kalau dak setuju, baca sokmolah, pedulikanlah kebangangan puak - puak tu, Petua separuh masak tersebut telah dijawab oleh ramai ulama dan asatizah Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Puak - puak tu pun dah diam seribu bahasa, cuma keegoan sahaja yang menghalang mereka untuk angkat tangan. Kalau setakat nak kata, bid`ah atau tak warid daripada Junjungan Nabi SAW, boleh tahan lagi, tapi sampai berani kata syirik, apa cerita. Tinggi sangatkah bahasa Arab puak - puak ni ? Allahu .... Allah.  tak takut Allah ke ? Siaplah hangpa tu nanti kena jawab depan Allah kerana telah mensyirikkan jutaan orang mukmin yang lain.

Ketahuilah bahawa Shalawat Syifa` ini telah masyhur diamalkan oleh umat Islam sejak dahulu lagi, baik daripada kalangan awam muslimin maupun para ulamanya. Di antara ulama besar lagi wali yang mengamalkan sholawat ini dan menganjurkan pembacaannya adalah al-Habib Ahmad bin Hasan bin `Abdullah bin `Ali al-`Aththas rahimahumullah (1257 - 1334H / 1841 - 1916M). Habib Ahmad ath-Aththas terkenal dengan ilmu, warak dan takwa sehingga dikatakan bahawa beliau mencapai maqam al-quthbiyyah. Habib `Alwi bin bin Muhammad al-Haddad rahimahullah pernah menyatakan: "Seandainya Saadah `Alawiyyin tidak menghasilkan seseorang selain Habib Ahmad bin Hasan, maka itupun sudah cukup untuk menjadi kebanggaan mereka." Habib Abu Bakar al-`Aththas bin `Abdullah al-Habsyi rahimahullah menukilkan dalam karya beliau yang menghimpunkan beberapa fatwa dan kalam Habib Ahmad al-`Aththas yang berjodol "Tadzkiirun Naas" pada halaman 328 menyatakan sebagai berikut:-
Diceritakan bahawa seorang lelaki yang menghidap lemah penglihatan telah mengadu kepada al-Quthub Habib Ahmad bin Hasan al-`Aththas rahimahullah mengenai penyakitnya itu. Habib Ahmad mengusap kedua-dua mata lelaki tersebut dan menyuruhnya untuk banyak membaca Shalawat ath-Thibbiyyah. Selanjutnya Habib Ahmad menyatakan bahawa:- "Habib Muhammad bin Zain Ba`Abud menceritakan kepadaku bahawa beliau pernah menghidap penyakit mata yang teruk sehingga beliau menjadi buta. Lalu beliau telah mengadu kepada Habib Shalih bin `Abdullah al-`Aththas rahimahullah. Habib Shalih telah mengusap kedua-dua mata beliau dan menyuruhnya untuk mengamalkan Shalawat ath-Thibbiyyah dengan shighah:-
sebanyak 300 kali setiap hari. Ternyata kemudiannya, penglihatan beliau kembali seperti sedia kala. Dan aku telah diberi ijazah oleh Habib Abu Bakar bin `Abdullah al-`Aththas dan disuruh membacanya setiap selepas sholat fardhu sebanyak 3 kali."
Maka adakah kita berani dan tergamak untuk menghukum para ulama, awliya` dan sholihin ini sebagai musyrik ? Ada berani !! Rasa-rasanya orang yang waras pemikirannya akan ikut siapa ye, sekerat dua orang yang perasan diri mereka "ulama" ataupun mengikut sejumlah besar umat Islam lain yang terdiri daripada kalangan khawas dan awam? Yang pasti ese akan pilih ikut as-sawadul a'dhzam sebab itu perintah Junjungan Nabi SAW. Oleh itu, wahai segala ikhwah Sunni sejati, janganlah teragak-agak untuk beramal dengan Shalawat Syifa` yang berkat. Tok sahlah dihiraukan kata-kata puak khawarij moden yang suka membid`ah dan mensyirikkan saudara seagama. Jika hangpa beramal dan depa berani kacau, maka jangan segan - silu menghadiahkan sedas dua penampar buaya. Jangan marah, lawak je, bab tampar menampar ini kita serah kat Raja Bomoh dengan pesanan nak lempang orang tu agak - agak leee.....

Jumaat, Mac 21, 2014

"Penat" 1000 Hari

Imam ath-Thabraani dalam "al-Kabir" dan "al-Awsath", Imam Nuruddin Abul Hasan 'Ali al-Haytsami dalam "Majma` az-Zawaaid", al-Khatib dan Ibnu an-Najjar meriwayatkan daripada Sayyidina Ibnu `Abbas radhiyaAllahu `anhuma bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:
 "Sesiapa yang mengucapkan: "JazaAllahu `anna Muhammadan maa huwa ahluh - Mudah-mudahan Allah membalas bagi pihak kami akan segala kebajikan yang  dilakukan oleh Junjungan Nabi Muhammad dengan balasan yang selayaknya buat baginda", ianya memenatkan 70 malaikat pencatat amalan selama 1000 pagi (yakni 1000 hari)."
Apa yang disabdakan oleh Junjungan Nabi SAW tadi adalah ibarat dan kinayah tentang besarnya ganjaran yang bakal diperolehi bagi seseorang yang mengamalkan bacaan tersebut sehingga dikatakan ianya seumpama memenatkan 70 malaikat menulis pahalanya  selama 1000 hari. Punyalah banyak sehingga diibaratkan malaikat yang tak reti penat pun akan "kepenatan". Nian besar fadhilatnya sehingga ramai ahli ibadah yang menjadikannya wirid harian mereka, antaranya Imam asy-Sya'raani rahimahullah yang menyatakan dalam karya beliau "al-`Uhuud al-Muhammadiyyah":- "Ucapan ini adalah antara wirid-wirid yang menjadi amalanku, di mana aku membacanya 1000 kali setiap pagi dan 1000 kali setiap petang pada setiap hari, alhamdulillah."

Allahu ... Allah, sungguh Allah adalah asy-Syakur, amalan yang ringan ini diberiNya balasan yang amat besar. Janganlah dipersia-siakan anugerah Allah ini, perjalanan akhirat itu jauh dan sukar maka perbanyakkanlah bekalan. So, kome nak tunggu apa lagi !!!!!!! JazaAllahu `anna Sayyidana Muhammadan maa huwa ahluh.

Khamis, Mac 20, 2014

Laqad Jaa-akum

Dalam usaha berdakwah atau menyampaikan sedikit ilmu yang ada pada kita, pasti akan ada rintangan yang perlu kita hadapi. Bukan semua yang mendengar akan suka atau menerima apa yang kita sampaikan. Ini adalah sunnah dalam berdakwah dan menyebarkan ilmu. Junjungan Nabi SAW pun ditolak oleh sebahagian kaum baginda, bahkan sebahagian kerabat baginda sendiri lari daripada ajakan dakwah baginda SAW. .Janganlah hanya mengharapkan hamparan permaidani merah untuk menyambut kita, ingat jalan ini penuh dengan onak dan duri. Itulah sunnahnya, lihat sahaja sirah Junjungan Nabi SAW dan para nabi yang lain.

Kita yang mengaku pendakwah seharusnya punya jiwa besar. Jiwa seumpama kolam luas yang sukar untuk diubah oleh nila setitik. Jangan hendaknya kita jadi pendakwah yang kerdil jiwanya, pendakwah yang sikit-sikit saman, sikit-sikit saman. Orang kutuk sikit, kita nak saman. Orang keji, kita maki. Orang tak datang, kita merajuk. Orang tak datang majlis kita, kita tuduh dia boikot dan dan dan sebagainya....Allahu ... Allah. Kembalilah kepada matlamat asal kita iaitu keredhaan Allah, yakni aku buat ini adalah untuk meraih keredhaan Allah dan bukannya keredhaan makhluk. Ingat pesan Imam al-Khathaabi pernah menyatakan bahawa "Ridhan naas ghaayatun laa tudrak - Keredhaan manusia adalah matlamat yang tidak bisa dicapai", yakni kita tidak akan dapat meraih keredhaan semua manusia keseluruhannya. Jika ada yang suka, maka pasti ada juga yang benci. Junjungan Nabi SAW yang merupakan rahmat bagi sekalian alam pun menerima kebencian bahkan dimusuhi oleh manusia-manusia bakal isi neraka. Allahu .... Allah.

Elok kita jadikan ayat terakhir surah at-Taubah sebagai bacaan harian kita untuk direnungi dan dijadikan panduan. Ingatlah bahawa Allah SWT, Tuhan kita yang Maha Mulia, berfirman yang kira-kira bererti: "(Adapun) jika mereka berpaling (dari keimanan), maka katakanlah : "CUKUPLAH ALLAH BAGIKU; TIADA TUHAN SELAIN DIA. HANYA KEPADANYA AKU BERTAWAKKAL, DAN DIA ADALAH TUHAN YANG MEMILIKI `ARASY YANG AGUNG." Oleh itu, jika niat kita ikhlas dan amalan kita pula selari dengan kehendak syariat yang mulia, maka tak perlu khuatir dan gusar. Kalau setakat sedih atas penolakan, itu biasa sebagai manusia yang punya perasaan dan pasti kesedihan kerana Allah juga ada ganjarannya.

Di kalangan para asatizah kita, dua ayat terakhir surah at-Taubah ini sudah terkenal dijadikan wirid untuk diraih ganjaran pahala dan keberkatannya, selain dijadikan panduan dalam mengharungi kehidupan di dunia yang fana ini. Berikut dikongsikan tulisan al-Fadhil al-Ustaz Ahmad Haris Suhaimi bin Syaikh Muhammad Taha as-Suhaimi hafizahullah berkaitan dua ayat tersebut. Beliau hafizahullah dalam "Apakah Amalan Bagi Menjauhkan Kesusahan Hidup" menyatakan, antara lain, sebagai berikut:-
Ayat ini sebagaimana yang telah diamalkan dan dijadikan wirid harian oleh ramai orang - orang soleh, sebenarnya mempunyai banyak sekali berkat dan kelebihannya, di antaranya ialah:-
  1. Ia termasuk zikir bertawakkal....
  2. Ayat ini akan menambahkan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah SAW kerana sifatnya yang sungguh belas kasihan kepada umatnya. Ini jelas sebagaimana yang tertera di dalam ayat tadi. Cintakan Rasulullah SAW adalah pembuka pintu kebahagiaan........ Dari itulah, ada yang berpendapat bahawa dengan sering membaca ayat ini, insya-Allah, ia akan menjadi pembuka pintu pertolongan dan pendinding dari musibah yang tidak disangka-sangka !
  3. Ayat ini menyebutkan bahawa Rasulullah SAW amat berasa berat hatinya jika melihat umatnya di dalam kesusahan. Sebenarnya perkara ini bukan sahaja apabila Rasulullah SAW masih hidup, tetapi Baginda tetap merasakannya juga, walaupun setelah Baginda meninggal dunia ! Ini kerana terdapat sebuah hadis sahih bahawa wafatnya Baginda SAW juga adalah baik untuk umatnya, kerana amalan umatnya akan diberitahukan kepada Rasulullah SAW melalui para Malaikat. Jika amalan umatnya kurang baik, Baginda akan meminta keampunan dari Allah untuk mereka ! Mulia sungguh sifat Rasulullah SAW !
  4. Selain ianya sebagai ayat pendinding dan ayat keselamatan, ia juga adalah ayat pembawa rezeki, kerana di dalam ayat ini ada terdapat zikir "Tawakkal" serta zikir menambahkan "kecintaan kepada Rasulullah SAW".
  5. Ayat ini mengandungi bacaan "Laa ilaaha illaLLah (HasbiyaAllahu Laa ilaaha illa Hu)" iaitu zikir yang mengandungi banyak sekali kelebihan dan berkatnya ......
  6. Dan satu lagi ialah pengakuan bahawa Allah memiliki kerajaan yang luas, Tuhan yang memiliki `Arasy yang hebat !
Kesemua kelebihan ini serta kelebihan - kelebihan yang lain yang hanya diketahui Allah Taala, ada terdapat di dalam ayat "Laqad Jaa-akum" ini ! Masya-Allah ! Maka banyakkanlah membaca ayat ini jika anda ada mengalami masalah yang berat atau susah untuk diselesaikan, insya-Allah, mudah - mudahan akan ada pertolongan dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Oleh itu, jika dakwah kita ditolak dan majlis pengajian kita tidak menjadi, kembalilah kepada Allah. Muhasabah diri dan katakanlah ... Allahu Allah, Allahu .. Allah, Allahu ... Allah sehingga sebati dengan diri bahawa matlamat hakiki kita hanya Dia yang Maha Esa.Tapi jangan lupa bahawa semuanya kena selari dengan pegangan sejati kita adalah Ahlus Sunnah wal Jama`ah dan menelusuri jalan syariat yang mulia serta dihiasi akhlak terpuji.

Rabu, Mac 19, 2014

Ceramah Habib Salim

Habib Salim bin Ahmad bin Husain bin Sholeh bin Abdullah bin 'Umar bin 'Abdullah BinJindan bin Syaikhan bin Syaikh Abu Bakar bin Salim, ulama dan waliyullah kelahiran Surabaya pada tanggal 18 Rajab 1324. Terkenal sebagai seorang ulama yang ahli hadits yang menghafal ratusan ribu hadits. Beliau juga dikenali sebagai ulama yang tegas lagi berani dalam menjalankan tugas-tugas dakwah menyeru kepada kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Kawey bubuh di bawah ini, cuplikan ceramah al-Habib Salim Bin Jindan rahimahUllah di majlis haul al-Habib Husain al-Haddad suatu ketika dahulu, yang antara lain, menyentuh pesanan agar para saadah yang mulia jangan hanya mengandalkan nasab keturunan. Juga dijelaskan tujuan mengadakan haul dan kenapa hanya diadakan haulnya ulama dan bukannya haul Junjungan Nabi SAW atau haulnya Sayyidina `Ali RA. Moga-moga telinga kita mendapat tuah dengan mendengar suara dan pesanan ulama besar ini, walaupun hanya seketika.

***************************************************
Ceramah Habib Salim BinJindan

Isnin, Mac 17, 2014

Aku beriman dengan Allah


Imam al-`Allamah asy-Syaikh Burhanul Islam az-Zarnuji rahimahullah dalam karya beliau yang masyhur, Ta'liim al-Muta`allim Thoriiq at-Ta`allum, pada bab yang ke-12 mengenai perkara yang boleh membantu dalam menguatkan ingatan dan menghilangkan lupa menganjurkan agar zikir di atas diamalkan selepas setiap sholat fardhu yang lima. Zikir ini merupakan penyaksian dan pernyataan keimanan kita kepada Allah yang Maha Esa dan penafian kepada segala kesyirikan. Mudah-mudahan dengan menjadikannya amalan akan dijaga keimanan kita dan kekuatan serta kewarasan akal kita sehingga kita jadi mukmin yang sejati yang mentawhidkan Allah pada setiap saat dan ketika. Ramai orang - orang yang dianggap "bijak", namun mempunyai tahap kewarasan akal yang rendah sehingga sanggup kufur dan mensyirikkan Allah SWT, Tuhan yang sebenar-benarnya. Marilah kita basahkan lidah kita dengan zikir tersebut dengan penuh penghayatan agar meresap ke hati sanubari kita: Aamantu biLlahil Waahidil Ahadil Haqq, wahdahuu laa syariikalah, wa kafartu bimaa siwaah -Aku beriman dengan Allah yang Tunggal, Maha Esa, Maha Benar, tiada sekutu bagiNya dan aku mengingkari akan segala apa selainNya (daripada segala macam kesyirikan dan kebatilan).

Rabu, Mac 12, 2014

Kisah Baginda `Ali

Diceritakan bahawa satu hari ketika Sayyidina `Ali RA sedang memberi pengajian dari atas mimbar, baginda telah ditanya oleh seseorang dengan satu soalan. Sayyidina `Ali menjawab soalan tersebut dengan mengatakan bahawa : "La adri (aku tidak tahu akan jawapannya)". Mendengar jawapan ikhlas daripada Sayyidina `Ali RA tersebut, si penanya berkata: "Engkau menaiki mimbar untuk mengajar sedangkan soalanku pun tak dapat engkau jawab ?" Sayyidina `Ali RA menjawab: "Ya, aku naik atas mimbar ini berdasarkan kepada ilmuku, jika aku menaikinya berdasarkan kejahilan nescaya aku sekarang sudah mencapai langit." Allahu... Allah, jawapan yang mencerminkan kebijaksanaan dan ketawadhukan.

Isnin, Mac 03, 2014

Sholawat Jalal

 Ya Allah Wahai Tuhan Kami
Limpahkan sholawat keagungan tertinggi
Serta salam terindah tiada peri
Atas hadhrat KekasihMu Penghulu kami Junjungan Nabi
Litupi baginda, Ya Allah Tuhan Kami
Dengan nurMu yang suci
Sebagaimana telah Kau litupi baginda dengan awanan tajalli
Lalu ZatMu Maha Mulia baginda pandangi
Dengan pandangan hakikat segala hakikat yang diperi
Tuhannya Maha Agung yang maha melindungi 
Junjungan Nabi dari segala kejahatan yang dibenci
Ya Allah lepaskan kesulitanku seperti yang telah Kau janji.

Sholawat yang dinisbahkan kepada Syaikhul Azhar Dr. Abdul Halim Mahmud rahimahullah. Seorang ulama besar `arif billah yang telah mengabdikan dirinya untuk meninggikan kalimah Allah atas muka bumi ini. Ulama yang benar-benar menjadi pewaris Junjungan Nabi SAW yang sentiasa mengutamakan akhirat berbandingkan dunia yang fana. Bukan seperti seorang "ustaz" yang telah mengkritik Dr. Abdul Halim ini dengan menyatakan bahawa pemikiran Dr. Abdul Halim Mahmud rosak dek pegangan tasawwufnya. Dan hari ini aku menyaksikan si "ustaz" ini telah benar-benar menjadi pemburu pangkat duniawi bak anjing mencari bangkai sehingga sanggup menggadaikan prinsip dan maruah agama.... Allahu .... Allah. Mudah-mudahan Allah memelihara agama kita sentiasa.