Selasa, Mei 08, 2012

Sayyidah Aaminah Mukminah Muwahhidah


Syaikh `Abdul Hamid Kisyk rahimahullah, seorang daie ulung yang tidak asing lagi di negara 1000 menara dan negara - negara serantau. Ulama lulusan usuluddin dari al-Azhar asy-Syarif. Beliau telah hafal kitab suci al-Quran pada usia 8 tahun. Terkenal sebagai seorang da`i dan khatib yang berani dan lantang menyeru kepada kebenaran sehingga beliau digelar sebagai "Faarisul Manaabir" - Pahlawan Mimbar. Beliau dilahirkan di sebuah kampung kecil yang terletak berhampiran dengan Iskandariah bernama Shibrakheet dalam tahun 1933. Pada hari Jumaat, 26 Rajab 1417 (6 Disember 1996) sewaktu memperingati peristiwa Isra` & Mi'raj, dalam sholat ketika sujud pahlawan mimbar ini kembali ke rahmatullah. .... Allahu ... Allah. Beliau meninggalkan ribuan rakaman ceramah dan khutbah yang mampu menggegarkan jiwa pendengarnya serta karangan kecil dan besar kira-kira 115 buah. Moga rahmat Allah sentiasa mencucuri ke atasnya ... al-Fatihah.

Tulisan ini menampilkan pandangan ulama berkelulusan usuluddin ini mengenai bonda Junjungan Nabi SAW, as-Sayyidah Aaminah. Pandangan seorang ulama yang shaleh yang mengakhiri hayatnya di dunia dalam sholat ketika sujud kepada Ilahi. Pandangan yang dinyatakannya dengan lantang dan penuh ketulusan dalam khutbah - khutbah dan ceramah - ceramah beliau. Walaupun kebanyakan ulama kita, lebih selesa meletakkan status bonda Junjungan Nabi SAW sebagai tergolong dalam kelompok ahlul fatrah yang sejahtera dari azab Allah di akhirat nanti, namun tidak kurang juga yang berpegang bahawa bonda Junjungan Nabi SAW adalah seorang ahli tawhid yang penuh keimanan dengan Allah yang Maha Esa. Maka, Syaikh `Abdul Hamid Kisyk rahimahullah, adalah antara ulama yang berpandangan sedemikian. Allahu .... Allah, amat jauh sekali para ulama kita dari mengambil jalan yang menyalahi adab kepada Junjungan Nabi SAW dengan menghukum bonda baginda yang mulia sebagai orang kafir.

Berbalik kepada pandangan Syaikh `Abdul Hamid Kisyk, dalam khutbah yang pernah beliau sampaikan, yang dicatat dan dihimpun dalam satu himpunan khutbah dengan jodol "Huna Madrasatu Muhammad SAW", juzuk 1, halaman 17, dinyatakan sebagai berikut:-
" Perbicaraan kita pada hari ini berkisarkan mimpi - mimpi yang dialami oleh tiga orang yang ada kaitan dengan kelahiran Junjungan Nabi SAW. Adapun mimpi yang pertama adalah mimpi yang dialami oleh bonda al-Habib SAW iaitu as-Sayyidah Aminah [perhatikanlah wahai ikhwah, Syaikh `Abdul Hamid menyebut bonda Nabi SAW dengan menggunakan gelaran mulia as-Sayyidah kepada beliau], di mana beliau berkata: " Hari aku mengandung dengannya, aku telah melihat suatu cahaya yang menerangi bagiku istana-istana kota Syam". Ketika hampir melahirkan Junjungan Nabi SAW, beliau bermimpi mendengar suatu suara ghaib berkata kepadanya: "Wahai Aminah, bahawasanya engkau mengandungkan penghulu dunia dan segala isinya, maka apabila engkau melahirkannya, engkau ucapkanlah: "Aku melindunginya dengan al-Waahid (Tuhan yang Maha Esa) daripada kejahatan setiap orang yang hasad"...........................
Maka apakah yang telah dilihat oleh Aminah ? Beliau melihat suatu cahaya yang menerangi baginya akan segala istana kota Syam, kemudian datang suara ghaib dalam tidurnya yang memberitahunya : "Bahawasanya engkau telah hamilkan penghulu dunia dan segala isinya, maka apabila engkau melahirkannya, engkau ucapkanlah: "Aku melindunginya dengan al-Waahid (Tuhan yang Maha Esa) daripada kejahatan setiap orang yang hasad."
Dan aku (yakni Syaikh `Abdul Hamid), ketika sampai kepada kisah mimpi ini, hendak menyatakan bahawasanya Aminah, bonda Rasulullah, ketika berkata kepadanya suara ghaib (hatif) : "Katakanlah oleh mu (wahai Aminah) : Aku melindunginya dengan al-Waahid (Tuhan yang Maha Esa)," maka ini adalah dalil yang menunjukkan bahawa beliau (bonda Nabi, Aminah) adalah seorang mukminah yang mentawhidkan Allah, yang tidak mengenali kesyirikan dan tidak pula pernah kesyirikan menembusi hatinya, kerana beliau adalah ibunda kepada Sayyid al-Muwahhidiin Muhammad (Penghulu Orang - Orang Yang MengEsakan Allah), maka betapalah pula keadaannya ketika melahirkan baginda ? (Yakni sudah pasti beliau adalah seorang yang mukminah lagi muwahhidah ketika melahirkan Junjungan Nabi SAW)

Allahu ... Allah, kisah -kisah mimpi Sayyidah Aminah, bonda Junjungan Nabi SAW, telah banyak disebut dalam kitab-kitab sirah dan hadits dengan berbagai riwayat yang hampir serupa. Ibnu Katsir menyebutnya dalam "al-Bidayah wa an-Nihayah", Ibnu Hisyam dalam "as-Sirah an-Nabawiyyah", Ibnu Sa`ad dalam "ath-Thabaqaat al-Kubra", al-Halabi dalam "as-Sirah al-Halabiyyah", Ibnu `Asaakir dalam "Taarikh Madinah Dimasyq", ath-Thabari dalam "Taarikh ath-Thabari", Ibnu Sayyidin Naas dalam "`Uyuun al-Atsir", al-Baihaqi dalam "Dalaail an-Nubuwwah", as-Sayuthi dalam "al-Khashais al-Kubra", al-Qasthaalani dalam "al-Mawaahib al-Laduuniyyah" dan ramai lagi ulama yang menukilkan riwayat serupa, hatta ulama yang dikagumi oleh pendokong kaum muda(h), Syaikh Muhammad Amin asy-Syinqithi, pun turut menukilkan kisah mimpi Sayyidah Aminah dalam tafsirnya yang berjodol "Adhwaa-ul Bayaan fi Idhaahil Quran bil Quran", juzuk ke-8, halaman 383, pada tafsir surah al-Insaan. Maka ambillah faedah wahai segala ikhwah, moga kita sekalian dirahmati Allah sentiasa.

2 ulasan:

AyaqSejuk berkata...

Mudah2an penjelasan ini menjadikan semua org benar2 memuliakan Junjungan Nabi s.a.w. serta memelihara adab dgn Baginda krn Baginda merupakan ikutan dan tempat mendapatkan syafaat

Tanpa Nama berkata...

SALAM,
tulisan ini sangat baik untuk mereka yang memuliakan nabi saw dan kaum keluarga baginda. Mengikut Habib Omar Abd Kadir Al Idrus iaitu satu-satunya cucu Tok Ku Paloh ( seorang wali ALLAH) yang masih hidup bagi ulama tasauf @ sufi bonda dan ayahanda nabi saw adalah ahlul taudid.
Semoga tulisan tuan memberi manfaat kepada semua umat yang cinta kepada nabinya.