Khamis, Mac 08, 2012

Belasungkawa - Dr. Muhibbuddin Waly

Ese telah dimaklumkan oleh seorang sahabat dari seberang bahawa  guru kami al-Mursyid Prof. Dr. Teungku Muhibbuddin Waly al-Khalidy telah berpulang ke rahmat Allah subhanahu wa ta`ala sekitar jam 10 malam semalam (7 Mac 2012). Buya Muhibbuddin adalah anakanda kepada Syaikh Mudo Waly al-Khalidy rahimahullah, ulama besar Aceh Darus Salam yang merupakan antara sahabat sepengajian Syaikh Yaasin al-Fadani rahimahullah. Beliau adalah graduan al-Azhar dari sarjana muda sehinggalah selesai Phd dalam bidang Syariah dengan thesis berkaitan ijtihad - jodol thesisnya ese dah lupa, tebalnya kalau hempok kat kepala boleh bawak umur kata orang kampung ese. Beliau pernah menjadi ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia dan pernah juga menjadi pensyarah di Kuliyyah Undang-Undang & Syariah Universiti Islam Antarabangsa.

Selain bidang Syariah, beliau juga terkenal dalam ilmu tasawwuf dan thariqat. Dalam ilmu thoriqat, beliau adalah mursyid Thoriqat Naqsyabandiyyah al-Khalidiyyah al-Waliyyah. Beliau diangkat menjadi mursyid mulanya oleh guru ayahanda beliau, Syaikh Abdul Ghani al-Kampariy rahimahullah. Di antara karya yang beliau tinggalkan buat umat adalah "Hakikat Hikmah Tauhid Dan Tasawuf (Syarah al-Hikam)", "Tafsir Waly", "Fathul Waly (Syarah kitab Jauharatut Tawhid)" dan "Nahjatun Nadiyah ila Martabatis Shufiyyah". Buya Muhibbuddin hingga akhir hayatnya tidak pernah berhenti berkhidmat kepada agama, nusa, dan bangsa, beliau selalu menyempat diri melayani umat, meskipun terpaksa dipapah. Beliau mudah memberikan hidangan ilmu dari ceramah-ceramahnya. Sebagai ulama beliau telah mendedikasikan hidupnya dalam dunia ilmu dan dakwah. Beliau terkenal sebagai seorang ulama yang sentiasa tenang, bicaranya lembut dan jarang sekali marah. 
Tanggal 7 Mac 2012 menyaksikan pemergian ulama besar ini di Tanah Serambi Makkah, Aceh Darussalam. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Sakit Fakinah, Banda Aceh sekitar jam 10 malam wib. dalam usia 75 tahun. Mudah-mudahan Allah ta`ala mencucurkan rahmatNya yang tiada berkesudahan kepada Buya Muhibbuddin Waly dan menempatkan beliau bersama para kekasihNya dalam syurga yang penuh kenikmatan. Pemergianmu kuiringkan dengan al-Fatihah .....Selamat Jalan Buya.

1 ulasan:

Seruling Senja berkata...

Semoga Allah sentiasa cucurkan rahmatNya keatas ulama besar ini dan menjadikan hasil kalam ilmu beliau sebagai warisan berharga buat umat.