Khamis, Disember 29, 2011

Ketika terpadam lampu .....

Tersebut dalam "Tuhfatul Asyraf bi jam`i kalam al-Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf" himpunan al-Habib Ahmad bin `Alawi bin Saqqaf al-Jufri, bahawa apabila terpadam lampu pelita ketika al-Quthub al-Imam Abu Zakaria Yahya bin Syaraf an-Nawawi rahimahullah sedang mentelaah maka akan zahir cahaya yang menerangi beliau daripada ibu jari beliau. Juga diceritakan bahawa bagi Imam ar-Rafi`i pula, apabila terpadam lampu, maka pokok-pokok akan mengeluarkan cahaya menerangi beliau. Allahu .. Allah. 

Para ulama kita bukan setakat ulama biasa, mereka juga adalah awliya` yang dianugerahkan karamah oleh Allah SWT. Misalnya, Imam an-Nawawi, beliau terkenal sebagai seorang ulama yang mencapai kedudukan wali Quthub dan diriwayatkan bahawa al-Habib `Umar bin `Abdul Rahman al-`Aththas rahimahullah, shahibur ratib, berpesan untuk sentiasa mentelaah kitab al-Minhaj Imam an-Nawawi kerana pengarangnya adalah seorang wali Quthub. Makanya kebanyakan ulama Saadah Ba `Alawi menghafal kitab ini. Imam al-Haddad pula diberitakan oleh murid beliau Syaikh Ahmad bin 'Abdul Karim al-Hasaawi asy-Syajaar dalam karangannya "Tatsbiitul Fuaad" juzuk ke-2, halaman 36, sebagai berkata:-
Telah berkata Imam al-Haddad r.a.: Dalam pandangan kami, (kitab - kitab yang menjadi) tiang atau fondasi bagi ilmu-ilmu agama serta segala kaedahnya ada 4. "Shahih al-Bukhari" dalam ilmu hadits; "Tafsir al-Baghawi" dalam ilmu tafsir; "al-Minhaj" (yakni "Minhajuth Tholibin" karya Imam an-Nawawi)" dalam ilmu fiqh (yakni fiqh Syafi`i); dan di antara kitab yang menghimpun berbagai ilmu agama adalah "Ihya` 'Ulumiddin". Inilah kaedah-kaedah untuk dijadikan landasan bagi memahami ilmu-ilmu agama. Kami telah mentelaah banyak kitab tetapi tidak kami lihat yang lebih himpunan ilmunya berbanding kitab "Ihya` 'Ulumiddin". Waktu sangat singkat dan segala kaedah yang disebutkan tadi itulah yang menjadi landasan bagi pengetahuan agama, itulah tiang-tiangnya pengetahuan agama. Dan tiadalah mazhab kami melainkan al-Quran dan as-Sunnah (yakni mazhab kita semuanya bersandarkan kepada nas-nas al-Quran dan as-Sunnah, bukanlah ertinya Imam al-Haddad menolak mazhab walaupun beliau dikatakan telah mencapai kedudukan untuk berijtihad). Ketika kami menunaikan haji, sebahagian orang bertanyakan mengenai mazhab kami. Maka aku katakan kepada mereka: "(Kami bermazhab) Syafi`i". Dan hadir dalam majlis itu seorang wali yang kasyaf dari kalangan ahlul khuthwah, dia berkata kepadaku: "Kenapa engkau mengatakan bahawa mazhabmu Syafi`i, sedangkan mazhabmu adalah al-hadits?" Maka aku menjawabnya: "Bagaimana tidak, bahawasanya para leluhur kami semuanya atas mazhab Imam asy-Syafi`i."
Jadi bagaimana hendak kita tinggalkan mereka untuk berpaut kepada dahan-dahan rapuh yang dimakan anai-anai ananiyah dan keangkuhan. Tidak sekali-kali tidak, takkan ku tukar permata terpilih dengan kaca.

Tiadalah apa yang nak dihairankan terjadinya karamah seumpama di atas kerana dalam hadis-hadis yang sahih juga ada diriwayatkan kisah - kisah sahabat yang diberi kayu dan/atau tongkat dan/atau tandan kurma yang mengeluarkan cahaya terang ketika malam yang gelap sehingga dapat menerangi jalan - jalan yang mereka lalui. Antaranya apa yang diriwayatkan oleh Imam Abu Nu`aim tentang tandan kurma yang diberikan Junjungan Nabi SAW kepada Sayyidina Qatadah bin Nu'man RA yang menerangi sepuluh langkah di hadapannya dan sepuluh langkah di belakangnya sehingga beliau boleh berjalan merentasi kegelapan malam dengan mudah.

Tersebut juga dalam "Tuhfatul Asyraf" tadi, bahawa Imam ar-Rafi`i rahimahullah juga mempunyai kekeramatan yang hampir serupa. Diriwayatkan bahawa bagi beliau apabila terpadam lampu, maka segala pepohonan akan mengeluarkan cahaya buat menerangi beliau yang sedang mentelaah. Dan tidak kurang juga kita pernah mendengar kekeramatan yang seumpamanya yang berlaku kepada para ulama Jawi kita seperti yang berlaku kepada Syaikh Daud al-Fathani rahimahullah. Mudah-mudahan kita yang istiqamah mengikut jalan mereka juga akan diberikan kemuliaan di dunia dan di akhirat.

Jumaat, Disember 09, 2011

Nur Muhammad - Mulla `Ali al-Qari


Imam Mulla `Ali bin Sulthan al-Harawi al-Qari @ Mulla `Ali al-Qari rahimahullah adalah seorang ulama ahli hadis yang bermazhab Hanafi. Ketinggian ilmu dan pribadi beliau diakui umat sehingga digelar sebagai " al-Imam Naashirus Sunnah wa Qaami`ul Bid`ah - Imam Pembela Sunnah dan Pembasmi Bid`ah". Beliau  sempat berguru dan menjadi murid kepada Mufti Makkah, Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahullah, ulama besar bermazhab Syafi`i, pengarang kitab "Tuhfah" yang masyhur. Imam Mulla `Ali al-Qari rahimahullah adalah antara ulama yang menerima riwayat hadits masyhur yang menyatakan bahawa seawal-awal penciptaan Allah adalah Nur Muhammad SAW. Dalam karya mawlid beliau yang berjodol "al-Mawridur Rawiy fi Mawlidin Nabiy SAW" beliau telah menukilkan hadits tersebut yang menyatakan:-



Seawal-awal Makhluk : an-Nur al-Muhammadiy
 Telah dikatakan: Telah diriwayatkan oleh Imam `Abdur Razzaq dengan sanad daripada Sayyidina Jaabir bin `Abdullah al-Anshari yang berkata:: " Wahai Rasulallah, demi ayah dan ibuku yang menjadi tebusan bagimu, khabarkanlah kepadaku mengenai apa yang mula pertama dicipta Allah ta`ala sebelum segala sesuatu." Junjungan s.a.w. bersabda:- "Wahai Jabir, bahawasanya Allah telah mencipta, sebelum segala sesuatu, akan nur nabimu daripada nurNya (yakni nur yang menjadi milikNya). Lalu dengan kudratNya berputar nur tersebut (yakni menjalani satu proses yang Allah sahaja Maha Mengetahui hakikatnya) menurut kehendakNya, dan pada waktu itu belum ada lauh, belum ada qalam, belum ada syurga, belum ada neraka, belum ada malaikat, belum ada langit, belum ada bumi, belum ada matahari, belum ada bulan, belum ada jin dan belum ada manusia. Ketika Allah ta`ala berkehendak untuk menciptakan makhluk, dibahagiNya nur tersebut kepada empat bahagian, maka dijadikanNya daripada bahagian pertama, qalam, dan daripada bahagian kedua, lauh, dan daripada bahagian ketiga, arsy. Kemudian dibahagiNya bahagian keempat kepada empat bahagian lagi, lalu diciptakanNya daripada bahagian pertama akan malaikat penanggung arsy (hamalatul-arsy), dan daripada bahagian kedua, kursiy; dan daripada bahagian ketiga, malaikat-malaikat lain. Kemudian dibahagiNya pula bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu dijadikan daripada bahagian pertama akan segala langit; dan daripada bahagian kedua, segala bumi; dan daripada bahagian ketiga, syurga dan neraka. DibahagiNya lagi bahagian keempat kepada empat bahagian, lalu diciptaNya daripada bahagian pertama, nur absharil mu`minin (nur pandangan orang-orang mu`min); daripada bahagian kedua, nur hati-hati mereka iaitu ma'rifatu billah ta`ala (yakni ma`rifat akan Allah ta`ala); dan bahagian ketiga, nur ucapan mereka iaitu tauhid "la ilaha illa Allah, Muhammadur Rasulullah."
Aku (yakni Imam Mullah `Ali al-Qari) berkata: Dan pengertian inilah yang diisyaratkan oleh firman Allah ta`ala: "Allah (Pemberi) cahaya kepada langit dan bumi. Perumpamaan nurNya - iaitu Nur Muhammad SAW - adalah seperti misykah (lubang yang tidak tembus cahaya yang dibuat pada dinding rumah untuk meletakkan pelita/lampu agar sinar pancaran cahayanya kuat dan tidak berselerak) yang berisi sebuah lampu ........
Mudah-mudahan bertambah faham kita mengenai konsep Nur Muhammad yang sering dijadikan modal oleh sesetengah pihak untuk menyesatkan pihak yang berpegang dengan makhluk terawal diciptakan Allah ini. Sentiasalah berlapang dada, adakah kamu hendak menghukum ulama-ulama seperti Imam Mulla `Ali al-Qari sebagai sesat kerana menerima Nur Muhammad ? Kalau berani terpulanglah, nanti tanggung sendiri. Jangan jadi pepatah tok nenek kita, tiada beban batu digalas. Pandai-pandai kome le....

Rabu, Disember 07, 2011

Habib Hamid al-Kaaf - Khalifah Syaikh Yaasin

Di antara ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah bermazhab Syafi`i yang masih hidup dan berbakti menabur ilmu di Kota Suci Makkah al-Mukarramah adalah al-Habib Hamid bin `Alwi bin Salim bin Abu Bakar al-Kaaf al-Husaini asy-Syafi`i al-Makki hafizahullah. Beliau dilahirkan pada hari Ahad 25 Sya'baan 1345H di Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia. Dibesarkan dalam keluarga mulia dan mula menuntut ilmu di bawah asuhan ayahanda beliau sendiri. Ayahanda wafat di Makkah ketika beliau masih kecil, lalu beliau meneruskan persekolahannya di Banjar sebelum pergi ke Surabaya untuk bersekolah di Madrasah al-Khairiyyah pada tahun 1360H. Di sana beliau belajar selama 3 tahun dan di antara guru beliau adalah Syaikh `Umar Baraja`, Habib Salim bin `Aqil dan lain-lainnya. Setelah 3 tahun di madrasah tersebut, beliau kembali ke Banjarmasin dan meneruskan pengajian di Ma'had Darus Salam ad-Diniyyah di Martapura. Antara guru beliau di sini adalah Syaikh Muhammad Sya'raani bin `Arif, Syaikh Husain Qudri dan Syaikh Abdul Qadir Hasan. Pada tahun 1367 beliau ke Makkah untuk menunaikan fardhu haji dan untuk menuntut ilmu di sana. Beliau menuntut di Masjidil Haram selama 4 tahun sebelum masuk ke Darul Ulum ad-Diniyyah pada tahun 1371 sehingga selesai pengajian di sana pada tahun 1373H. Setelah tamat pengajian, beliau mula mengajar berbagai ilmu seperti fiqh, usul, hadis, nahu, falak dan ilmu-ilmu alat, sehingga menjadi antara ulama yang mengajar dalam Masjidil Haram selain menjadi guru di Madrasah Ulum ad-Diniyyah, Makkah. Beliau juga pernah dilantik menjadi setiausaha Majlis Syura dan sehingga kini beliau menjadi ahli fatwa (mufti) Kedutaan Indonesia di Arab Saudi. Beliau juga terkenal sebagai seorang ulama yang mahir dalam ilmu-ilmu hadits dan falak sehingga beliau digelar sebagai al-`Allaamah al-Muhaddits al-Falaki.

Antara guru-guru beliau yang lain adalah Syaikh Muhammad Yaasin al-Fadani di mana beliau mempunyai ikatan yang erat dengan Syaikh Muhammad Yaasin sehingga beliaulah yang menjadi khalifah beliau dan kini beliau tetap terus mengajar di halaqah Syaikh Muhammad Yaasin pada setiap malam Rabu di Syari' Sittin. Semoga Allah memberikan umur yang panjang kepada beliau dalam sempurna kesihatan lagi banyak keberkatan.

Isnin, Disember 05, 2011

Resep Bagi Kelapangan Setahun

Ikhwah, di antara amalan yang dianjurkan untuk dilakukan pada hari `Asyura adalah memberi keluasan atau kelapangan kepada ahli keluarga kita. Bahkan, amalan ini, selain daripada anjuran berpuasa, adalah antara amalan yang tsabit dengan nas yang sahih menurut sebahagian muhadditsin sebagaimana dinyatakan oleh al-Imam Syamsuddin Abul Mahasin Muhammad bin Khalil bin Ibrahim al-Masyisyi al-Qaawuqji rahimahullah. Imam al-Qawuqji adalah seorang ahli hadits, sufi dan ulama besar bermazhab Hanafi yang dilahirkan pada tahun 1224H atau 1225H /1810M. Beliau ini digelar sebagai "Musnid bilad asy-Syam" atas ketokohan dan penguasaannya dalam ilmu - ilmu hadits.

Dalam karya beliau mengenai amalan-amalan yang dianjurkan untuk dilakukan pada hari `Asyura yang dinamakan "Tuhfatul Muhibbin wa Minhatul Mustarsyidin" pada halaman 71-72 menyatakan antara lain:-
"Dan adapun meluaskan perbelanjaan bagi ahli rumah dan keluarga, sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu `Abdil Bar dengan sanad yang jayyid (elok) daripada Sayyidina Jaabir bin Abdullah yang berkata: "Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: " Sesiapa yang meluaskan (yakni melapangkan atau menyenangkan) atas dirinya dan ahli keluarganya pada hari `Asyura, Allah akan meluaskan (rezekinya) sepanjang tahun." Sayyidina Jabir RA berkata: "Kami telah mencubanya dan memperolehi yang sedemikian tadi (yakni apa yang dinyatakan tadi)."

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam "Syu`abul Iman" daripada hadits Sayyidina Abu Hurairah RA yang menyatakan: "Sesiapa yang melapangkan atas keluarganya dan ahli rumahnya pada hari `Asyura, Allah akan melapangkan atasnya sepanjang tahunnya."

Sayyidina `Umar bin al-Khaththaab RA berkata: "Perbanyakkanlah berbuat kebaikan kepada ahli-ahli rumah kamu pada malam `Asyura dan harinya, dan luaskanlah bagi ahli-ahli keluarga kamu padanya daripada rezeki yang halal, sesiapa yang tidak mempunyai kemampuan untuk itu, maka lapangkan dengan akhlaknya terhadap kaum kerabatnya dan dengan memaafkan sesiapa yang menzalimi dirinya."

Dan telah berkata Shahibul Madkhal bahawa meluaskan belanja pada hari `Asyura atas ahli rumah, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang - orang miskin serta menambah nafkah dan sedekah adalah amalan  mandub yang sewajarnya tidak dilupa pengamalannya pada setiap tahun.
Oleh itu, hendaklah kita keluarkan sedikit belanja tambahan, menurut kemampuan dan tidak membebankan, untuk menggembirakan anak isteri  dan ahli keluarga kita dengan memberi nafkah yang lebih dari biasa atau menyediakan makanan dan minuman yang lebih istimewa berbanding hari-hari lain. Biarlah mereka merasakan kelainan yang menyukakan segala hati pada hari tersebut, hari di mana Allah telah memberi berbagai kemenangan, keselamatan dan kebahagiaan kepada para nabiNya yang terdahulu, juga hari di mana Allah telah menganugerahkan darjat syuhada` kepada Sayyidina Husain RA. Biarlah anak-anak kita tahu bahawa hari `Asyura ini ada signifikannya dalam kehidupan kita selaku umat Muhammad SAW. Tetapi barang diingat pesanan Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullah agar jangan disambut hari Asyura dengan pesta-pesta kegembiraan sebagaimana perlakuan golongan Nawasib yang merayakan pembunuhan Sayyidina Husain RA dan jangan pula dengan ratapan kesedihan sebagaimana amalan puak Syiah. Hendaklah kita, pengikut Ahlus Sunnah wal Jama`ah, menyambut hari Asyura dengan penuh kesyukuran atas nikmat - nikmat yang telah Allah anugerahkan kepada para anbiya` dan awliya` terdahulu dan juga dengan penuh keinsafan terutama sekali terhadap peristiwa yang telah menimpa keluarga Junjungan Nabi SAW. Dan jangan pula lupa berpuasa bagi yang mampu kerana berpuasa pada hari ini adalah sunnat muakkadah, nak makan-makan tu biorle sewaktu berbuka nanti atau tatkala bersahur kalau ada seleranye. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan `Asyura tahun ini dan juga tahun-tahun yang mendatang. Allahumma aamiin.

Khamis, Disember 01, 2011

Sholawat Nabi Rukun Khutbah


Menurut ulama Syafi`iyyah, sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW adalah salah satu dari rukun dalam kedua-dua khutbah shalat Jumaat. Namun ada terjadi di mana sesetengah khatib tidak begitu memberi perhatian kepada rukun ini, sehingga kekadang ianya ditinggalkan atau shighah yang digunakan tidak tepat bagi melepaskan tuntutan rukun tersebut. Ramai juga yang keliru sehingga beranggapan bahawa ucapan syahadatain sebagai rukun dan bukannya sholawat. Perlu diingat bahawa khutbah walaupun sepanas mana, walau berapi-api berisikan kupasan isu semasa, jika rukun-rukunnya tidak dilaksanakan akan menyebabkan ianya tidak sah, dan jika khutbah tidak sah, maka tidak sah pula sholat Jumaat tersebut. Sesungguhnya khutbah Jumaat itu tidaklah seperti ceramah-ceramah biasa, ianya adalah salah satu ibadah yang besar yang menjadi syarat bagi sah atau tidak sembahyang jumaat yang didirikan. Bahkan mimbar tempat tuan khatib menyampaikan khutbah turut dimuliakan bahkan dijadikan sebagai taghlidhz dalam sesuatu sumpah. Oleh itu, hendaklah diberikan perhatian sewajarnya berhubung segala rukun khutbah tersebut agar amal ibadah kita sah dan diterima Allah SWT.

Menurut fuqaha` kita, ucapan sholawat yang memadai untuk menunaikan rukun khutbah hendaklah:-
  1. Menggunakan ucapan sholawat, samada dalam bentuk mashdarnya yakni " الصلاة " atau musytaqnya seperti " صلى "atau " صل " atau " اصلى " atau " نصلى " dan sebagainya;

  2. Menggunakan nama atau gelaran Junjungan Nabi SAW yang shorih (jelas) dan bukan hanya dirujuk dengan  dhomir (gantinama) sahaja, walaupun sebelumnya disebut akan nama Junjungan SAW;

  3. Ianya hendaklah diucapkan dalam bahasa 'Arab.

Sering berlaku kekeliruan pada sebahagian khatib yang menyangka bahawa lafaz dua kalimah syahadah (asy-syahadatain) itu sebagai rukun, maka setelah mengucapkan dua kalimah syahadah tersebut lalu diiringi dengan ucapan sholawat ke atas Nabi dengan shighah dhomir, contohnya:- " .... wa asyhadu anna Muhammadan `abduhu wa rasuluh, shallaAllahu `alaihi wa sallam....", tanpa diulangkan lafaz sholawat dengan menyebut salah satu daripada nama-nama atau gelaran-gelaran baginda yang mulia seumpama Muhammad atau Ahmad atau Rasulullah atau ar-Rasul atau an-Nabiy atau al-Haasyir dan sebagainya. Maka jika ini dilakukan, cacatlah khutbah itu kerana telah tertinggal satu rukun. Oleh itu, berilah perhatian wahai para khatib agar mengucapkan sholawat dengan menyebut dengan terang dan nyata "....`alan Nabiy" atau "......`ala Sayyidina Muhammad" atau ".......`alar Rasul" dan seumpamanya.

Inilah yang dinaskan dalam kitab-kitab muktabar dalam mazhab kita. Antaranya oleh Khatimatul Muhaqqiqin, Mufti Haramain, Imam Syihabuddin Ahmad bin Muhammad bin `Ali bin Hajar al-Haitami as-Sa'di al-Anshari al-Makki @ Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah dalam kitab "Tuhfah" juzuk 2 halaman 484, di mana beliau menulis:-

......(Dan lafaz keduanya) iaitu lafaz hamdallah dan sholawat ke atas Rasulillah SAW (adalah dengan lafaz yang tertentu) kerana menurut apa yang telah diamalkan orang semenjak masa Junjungan Nabi SAW sehinggalah ke hari ini. Maka tidaklah memadai tsana` (ucapan sanjungan selain tahmid) atau ucapan syukur; dan tidak juga memadai ucapan tahmid yang menggunakan nama selain daripada lafzul jalalah "ALLAH" seperti diucapkannya "al-hamdulir Rahman" atau "al-hamdulir Rahim". Dan tidak memadai ucapan yang tidak menggunakan ucapan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW seperti dikatakannya "rahimaAllahu Rasulillah" atau "barakAllahu `alaih", dan tidak memadai bersholawat kepada selain Junjungan Nabi SAW seperti dikatakan "shallAllahu `ala Jibril", DAN TIDAK MEMADAI SHOLAWAT YANG MERUJUK KEPADA JUNJUNGAN NABI SAW DENGAN ISM DHOMIR SEPERTI "SHALLALLAHU `ALAIH" WALAUPUN DIDAHULUI DENGAN MENYEBUT NAMA BAGINDA ....
Oleh itu, sayogia diberi perhatian oleh para khatib sekalian. Ingat sentiasa bahawa dua khutbah itu syarat bagi sahnya shalat Jumaat. Jangan kerana kita maka Jumaat tidak didirikan dengan sempurna rukun dan syarat.

Jumaat, November 25, 2011

Tabarruk Imam Syafi`i - Khatib al-Baghdadi


 Imam Abu Hanifah, an-Nu'man bin Tsabit radhiyallahu `anhu adalah salah seorang pengasas mazhab yang masyhur. Beliau wafat pada tahun kelahiran Imam asy-Syafi`i radhiyallahu `anhu, iaitu 150H. Makam beliau yang berada di Baghdad sentiasa menjadi tumpuan ziarah kaum muslimin yang kasihkan para kekasih Allah SWT. Imam kita, Sultanul A-immah Muhammad bin Idris asy-Syafi`i ketika di Baghdad, juga tidak ketinggalan untuk menziarahi Imamul A'dhzam Abu Hanifah di makam beliau tersebut. Bahkan Imam Besar keturunan Bani Muthallib ini turut menadah tangan berdoa kepada Allah SWT dengan bertawassul kepada Imam Abu Hanifah RA. Kisah mengenai perkara ini disebut oleh Imam al-Hafiz Abu Bakar Ahmad bin `Ali bin Tsabit bin Ahmad bin Mahdi asy-Syafi`i rahimahullah yang masyhur dengan gelaran Imam Khatib al-Baghdadi, seorang ulama bermazhab Syafi`i yang hidup sekitar tahun 392H - 463H. 

Dalam karya beliau yang  masyhur "Tarikh Baghdad" pada jilid 1 halaman 123 beliau menulis kisah tersebut melalui jalan daripada al-Qadhi Abu `Abdullah al-Husain bin `Ali bin Muhammad as-Saymari daripada `Umar bin Ibrahim al-Muqri daripada Makram bin Ahmad daripada `Umar bin Ishaq bin Ibrahim daripada `Ali bin Maimun yang menyatakan bahawa beliau mendengar Imam asy-Syafi`i RA berkata: " Sesungguhnya aku bertabarruk dengan Abu Hanifah dan aku menziarahi kubur beliau setiap hari. Apabila aku mempunyai suatu hajat keperluan, aku bershalat dua rakaat, kemudian pergi ke kubur Abu Hanifah dan berdoa kepada Allah di sisinya, maka dalam masa yang singkat sahaja hajat tersebut ditunaikan. "

Sebahagian orang mempertikaikan kesahihan kisah tersebut. Maka itu adalah hak mereka dan sebagaimana mereka, kita juga punya hak untuk tidak menerima pendapat mereka dan sebaliknya menerima pendapat ulama yang mensabitkan kebenaran pada kisah tersebut. Menurut kajian Imam Khatib al-Baghdadi, segala periwayat kisah tersebut adalah orang - orang yang shaduq dan tsiqah (yakni orang - orang yang dipercayai) dan pandangan beliau ini turut dikongsi oleh ulama-ulama lain.

Pihak yang menolak kisah tersebut seperti al-Albani juga tidak menafikan kedudukan dan status para perawi kisah tersebut adalah orang - orang kepercayaan selain daripada " `Umar bin Ishaq bin Ibrahim" yang dikatakan sebagai seorang yang majhul (yakni yang tidak diketahui identitinya). Atas dasar tersebut maka al-Albani menghukumkan kisah tersebut sebagai dhaif bahkan batil. Rasanya penilaian kisah tersebut sebagai batil adalah satu penilaian yang terlampau kerana beliau gagal mempertimbangkan fakta yang para periwayat lain adalah mereka-mereka yang shaduq dan tsiqah. Sewajarnya perkara ini masuk dalam pertimbangan al-Albani sebelum menyatakan yang ianya batil.

Menurut penjelasan sebahagian ulama lain, ada kemungkinan 'Umar bin Ishaq tersebut adalah `Amr bin Ishaq al-Himsi yang merupakan seorang yang diketahui dan boleh dipercayai. Jika ianya benar, maka tiadalah apa lagi kecacatan pada sanad yang dikemukakan oleh Imam Khatib tersebut. Selain daripada itu, perlu diberi perhatian juga bahawa kisah ini turut disampaikan melalui jalan lain, antaranya oleh Imam Ibnu Hajar al-Haitami dalam karya beliau "al-Khairat al-Hisan" yang merupakan manaqib Imam Abu Hanifah pada fasal 35 halaman 129 dengan sanad yang shahih dan Imam Ibnu Abil Wafa menyebutkan kisah ini dalam "Tabaqat al-Hanafiyyah" pada halaman 519 dengan sanad lain melalui al-Ghaznawi. Tidak ketinggalan para ulama di masa kita ini turut memuatkan kisah ini dalam karya mereka, misalnya Imam Muhammad Zahid al-Kawthari membawa kisah ini dalam "Maqalat al-Kawthariy" pada halaman 453 dan mengatakan bahawa sanad kisah ini adalah bagus (jayyid). Mufti Muhammad Taqi Uthmani memuatkannya dalam karya beliau "Jahan-e-Deedah", jika kisah tersebut dianggap sebagai batil, pasti Mufti Muhammad Taqi yang terkenal sebagai seorang ulama bermazhab Hanafi dengan aliran Deobandi tidak akan memuatkannya dalam karya beliau. Maka hendaklah kita berlapang dada, jangan terlalu taksub dengan pegangan kita sehingga menuduh pihak yang tidak sependapat dengan berbagai tuduhan yang keji. Tiada paksaan samada untuk menerima atau menolak kisah Imam asy-Syafi`i RA bertabarruk dengan Imam Abu Hanifah RA.

Khamis, November 17, 2011

Qadhi Abu Syuja`

Syaikh al-'Alim al-'Allaamah al-Imam Syihabud Dunya wad Din, Ahmad bin Husain bin Ahmad al-Ashfahani asy-Syafi`i rahimahullah yang lebih dikenali sebagai Qadhi Abu Syuja` @ Qadhi Abu Thayyib adalah seorang ulama besar dalam mazhab asy-Syafi`i. Tarikh lahir dan wafatnya tidak diketahui dengan pasti. Ada yang menyatakan beliau lahir dalam tahun 328H dan wafat pada tahun 488H, manakala pendapat lain menyatakan bahawa beliau lahir tahun 433H dan wafat tahun 593H.

Ketokohan beliau amat terserlah sehingga dilantik menjadi qadhi dan akhirnya menduduki jawatan wazir. Namun kedudukan dan pangkat sedikit pun tidak mempengaruhi keshalehan, sikap warak dan zuhud beliau. Bahkan beliau dikenali di segenap ceruk rantau sebagai seorang imam yang shaleh lagi alim. Sewaktu menduduki jawatan wazir, beliau menugaskan 10 orang pembantu bertugas membahagi dan mengagih-agihkan sedekah dan hadiah, di mana setiap seorang diberi 120,000 dinar untuk dibahagi kepada orang - orang miskin, penuntut dan ahli ilmu serta sesiapa sahaja yang memerlukannya. Beliau sendiri tetap hidup dengan penuh kezuhudan terhadap dunia yang fana ini.

Qadhi Abu Syuja` dianugerahkan dengan umur yang cukup panjang, iaitu 160 tahun, sebagaimana disebut oleh Imam al-Bujairimi dan Imam al-Bajuri dalam kitab - kitab mereka. Setelah bersara dari jawatan wazir, Qadhi Abu Syuja` berhijrah ke Kota Madinah al-Munawwarah untuk menjadi khadam kepada Junjungan Nabi SAW yang berkhidmat menjaga dan melayan segala keperluan makam dan masjid baginda yang mulia. Meskipun seorang ulama besar dan mantan wazir, Qadhi Abu Suja` tidak segan dan malu untuk membersih sendiri makam dan masjid yang mulia serta menyalakan lampu - lampunya. 

Sungguh pun menjangkau usia lanjut, namun tubuh badannya tetap seperti orang muda, segala anggota-anggotanya tetap seperti dahulu tidak dimamah usia. Apabila ditanya mengenainya, beliau menjawab:- "Kami telah menjaganya sejak kecil, maka Allah menjaganya ketika kami tua (yakni sejak kecil lagi beliau telah menjaga dan memelihara segala anggotanya daripada berbuat maksiat kepada Allah, maka Allah pun menjaga dan memelihara segala anggota beliau agar tetap cergas dan berfungsi walaupun usia beliau sudah lanjut. Inilah sebahagian akhlak dan sifat para ulama kita, jadi bagaimana mungkin kita meninggalkan jalan mereka untuk menuruti jalan orang yang "konon"nya lebih faham akan ajaran Islam daripada mereka, namun ilmu dan amal juga akhlak sebesar kuku pun tidak seperti dengan mereka.
 
Qadhi Abu Syuja` wafat di Kota Madinah dan di sanalah beliau dimakamkan. Antara peninggalan beliau yang masyhur adalah karya fiqh mazhab Syafi`i yang banyak disyarahkan oleh ulama-ulama yang datang kemudian. Karya tersebut adalah "al-Ghayah wa at-Taqrib" atau "Ghayatul Ikhtishar" atau "Mukhtashar Abi Syuja`" atau sering disebut sebagai "Matan Abi Syuja`". Karya ini telah disyarah dan diberi penjelasan oleh ramai ulama kemudian, antaranya, oleh:-
  1. Imam Taqiyuddin Abu Bakar bin Muhammad al-Hishni - "Kifayatul Akhyar"
  2. Imam Ahmad al-Akhshashi - "Syarh Mukhtashar Abi Syuja`";
  3. Imam Muhammad bin Qasim al-Ghazzi -  "Fathul Qarib al-Mujib";
  4. Imam Waliyuddin al-Basyir - "an-Nihayah fi Syarhil Ghayah";
  5. Imam Muhammad asy-Syarbini al-Khatib - "al-Iqna`";
  6. Imam Ahmad bin al-Qasim al-`Ubbadi - "Kasyful Ghaffar"
Maka berpanjanganlah ilmu beliau sehingga dimanfaati kita di zaman ini. Mudah-mudahan Allah mencucurkan rahmatNya kepada Qadhi Abu Syuja` dan sekalian para ulama yang shalihin juga sekalian umat ini..... al-Fatihah.

Rabu, November 09, 2011

Ralat "Ensiklopedia Solat"

Kelmarin dulu, ese berkesempatan membelek "Ensiklopedia Solat" terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. Sebuah buku yang cukup menarik dan elok susun aturnya. Terbitan Telaga Biru memang hebat. Namun ese terserempak dengan satu kesalahan besar pada halaman 13 pada Bahagian 3. Di situ dinyatakan:-

Bahagian 3

AIR MUSTAKMAL BOLEH DIGUNAKAN UNTUK MENGHILANGKAN NAJIS
Tiga syarat menggunakan air mustakmal:

(i) Air tersebut cukup untuk mengalir di atas tempat yang bernajis. Jika air terlalu sedikit dan tidak dapat mengalir (bertakung), ia akan menjadi air yang bernajis setelah bercampur dengan najis.

(ii) Air yang digunakan untuk menghilangkan najis ini tidak berubah bau, rasa dan warna setelah terpisah dari tempat yang berwarna tadi.

(iii) Berat air selepas digunakan tidak bertambah.
Apa yang dinyatakan tersebut sebenarnya adalah situasi di mana air MUTLAK yang digunakan untuk menghilangkan najis hanya dihukumkan sebagai MUSTAKMAL dan bukannya MUTANAJJIS. Air MUSTAKMAL tidak boleh digunakan untuk membersihkan najis kerana ianya dihukumkan suci pada dirinya tetapi TIDAK BOLEH MENYUCIKAN yang lain. Oleh itu, kalimah - kalimah pada tajuk di Bahagian 3 itu adalah mengelirukan. Ianya seharusnya diperbetulkan seumpama : " (HUKUM) AIR YANG DIGUNAKAN UNTUK MENGHILANGKAN NAJIS" Air mutlak yang digunakan untuk menghilangkan najis dihukumkan sebagai mustakmal dengan tiga syarat .........."

Silalah tuan-tuan bukak kitab fiqh Syafi`iyyah mengenai air mustakmal tidak boleh digunakan untuk menghilangkan najis. Bahkan pada halaman 14 "Ensiklopedia Solat" tersebut juga telah dinyatakan bahawa air mustakmal tidak boleh digunakan untuk membersihkan najis. Maka diharap pihak penerbit ambil berat perkara ini agar terbitan mereka bertambah lagi mutunya.

Selasa, November 08, 2011

Imam al-Hujwiri @ Data Ganj Bakhsh

 Foto di sebelah merakamkan Perdana Menteri Pakistan sedang berdoa di makam Imam al-Hujwiri. Foto ini sudah tentu memedihkan hati pengikut fanatik puak badwi yang keluar dari arah timur Madinah al-Munawwarah, bumi Nejd yang dikecewakan dari mendapat doanya baginda Nabi SAW. Di atas makam Imam al-Hujwiri turut berdiri kubah, bukan untuk sembahan tetapi sebagai tanda dan ingatan bahawa di sinilah bermakamnya seorang ulama yang banyak berjasa terhadap umat Baginda Nabi SAW, agar para penziarah dapat menziarahi dan memperolehi keberkatan dan pahala daripada Allah SWT. Janganlah berburuk sangka kepada sesama umat dengan menghukum sesiapa yang mendatangi kuburnya para shalihin sebagai penyembah kubur.... Allahu..Allah... sungguh jelek gelaran yang diberi kepada kaum yang bersyahadah. Namun, mungkin kerana memiliki sifat kasar dan jiwa keras yang ada pada sesetengah manusia sehingga ada yang cuba meletupkan makam tersebut. Namun tidak berhasil memusnahkan makam tersebut, sebaliknya telah mengakibatkan terbunuhnya nyawa orang awam dan kanak-kanak yang tidak berdosa. Adakah ini ajaran yang dibawa oleh Junjungan Nabi SAW ???? Apakah baginda membenarkan pembunuhan ???? Jadi di manakah kedudukan puak-puak yang mengakui "berani mati" ini, apakah mereka ini tidak sekiblat dengan kita atau mereka menghadap arah kiblat yang bertentangan ke Kaabah ??

Sayyid Abul Hasan `Ali bin 'Uthman al-Hujwiri rahimahullah dilahirkan di Hujwer, Ghazna, Afghanistan. Tarikh kelahiran dan kewafatannya tidak diketahui secara pasti, apa yang pasti adalah beliau hidup sekitar kurun ke-5H. Berketurunan Rasulullah SAW, di mana ayahanda beliau adalah seorang syarif al-Hasani manakala bonda beliau pula adalah seorang syarifah al-Husaini. Beliau telah berkelana ke berbagai pelusuk dunia Islam untuk menimba pengetahuan dan telah bertemu dengan sosok - sosok gergasi dalam dunia keilmuan Islam, antaranya Imam al-Qusyairi dan murid beliau Syaikh Abu `Ali al-Farmadi yang merupakan salah seorang guru Imam Hujjatul Islam al-Ghazali. Silsilah kerohanian beliau bersambung kepada Imam Junaid al-Baghdadi dan seterusnya kepada Sayyidina `Ali RA melalui guru beliau Hadrat Syaikh Abul Fadhl Muhammad bin Hasan al-Khuttali. Di antara kisah yang menarik mengenai beliau adalah ketika beliau menjejakkan kakinya ke Lahore atas perintah gurunya, binaan pertama didirikannya adalah sebuah masjid sebagai pusat dakwah beliau. Maka ramailah orang mendatangi beliau untuk mendengar nasihat dan ajarannya dan hal ini telah menimbulkan hasad dengki dalam hati sesetengah orang lalu mereka menyebarkan fitnah bahawa masjid yang didirikan oleh Imam al-Hujwiri itu menghadap arah kiblat yang salah. Fitnah yang semakin merebak itu memaksa Imam al-Hujwiri untuk mengundang penduduk Lahore termasuklah mereka-mereka yang dengki tersebut untuk hadir ke masjid untuk sholat. Setelah azan Maghrib dilaungkan, Imam al-Hujwiri pun mengimamkan sholat dan dalam sholat ketika beliau membaca ayat ke-6 surah al-Fatihah : "Tunjukilah kami jalan yang lurus", dengan izin Allah, terbitlah satu karamah di mana semua yang hadir bersholat tersebut dapat melihat di hadapan mereka Baitullah. Maka hilanglah keraguan mereka yang arah kiblat masjid tersebut salah. Maka tidak hairanlah kenapa sehingga kini Imam al-Hujwiri menduduki tempat istimewa dalam hati-hati umat Islam terutama sekali penduduk Lahore dan Pakistan.

Imam al-Hujwiri terkenal dengan karya beliau "Kasyful Mahjub". Karya ini ditulis dalam Bahasa Farsi dan merupakan antara karya tasawwuf yang tertua dalam bahasa Farsi. Ianya telah diterjemah dalam Bahasa Arab, Inggeris dan juga Bahasa Melayu - Indonesia. Seorang bangsawan British, John Gilbert Lennard (1915 - 1978) menerima hidayah Islam setelah membaca "Kasyful Mahjub" dan setelah Islam beliau dikenali sebagai Shah Shahidullah Faridi. Antara komentar beliau mengenai Imam al-Hujwiri adalah:- " His grave in Lahore is the most frequented of all saintly shrines in that city and one of the most famous in Pakistan and other nearby countries. His name is a household word, and his mausoleum the object of pilgrimage (ziarah) from distant places. [Only a few] of such pilgrims can ever read his book. His spiritual authority, then, transcends the world of literature and stands in its own right unsupported by outward evidences, however valuable these undoubtedly are." Moga Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayangNya ke atas Imam al-Hujwiri selama-lamanya ... al-Fatihah.

Khamis, Oktober 27, 2011

Siapa Sebenarnya Wahhabiy ?

Karya terbaru al-Fadhil Ustaz Zamihan hafizahullah. Memberi penerangan mengenai sikap dan kefanatikan puak Wahhabiy dan bahayanya. Elok untuk dibaca agar kita tahu siapa puak-puak ini, apatah lagi sekarang ni ramai asatizah dan protaz yang terpengaruh dengan dakyah ini mula menyusup masuk ke berbagai badan kerajaan, swasta dan parti - parti politik. Buku ini diberi kata alu-aluan oleh dua orang agamawan negara kita, iaitu al-Fadhil Dr. Muhammad Uthman el-Muhammady dan al-Fadhil Dato Hj Mohd Saleh Hj Ahmad. Silalah berhubung dengan Ustaz Zamihan untuk mendapatkan senaskhah buku ini. Moga ada manfaatnya dan mudah-mudahan Allah tetapkan kita semua atas jalan Ahlus Sunnah yang sebenar, bukan jalan para pendakwa yang beri'tiqad kursi itu tempat telapak kaki Allah...... subhanAllah.

*************************************

Penerangan al-Fadhil Ustaz mengenai bukunya



Sabtu, Oktober 22, 2011

Habib `Abdur Rahman al-Masyhur

Seorang penuntut ilmu, istimewa yang mengaji fiqh mazhab Syafi`i, pasti kenal dengan sebuah kitab himpunan fatwa yang dinamakan"Bughyatul Mustarsyidin". Kitab ini adalah antara karya al-Habib `Abdur Rahman bin Muhammad bin Husain bin `Umar al-Masyhur rahimahumullah ulama yang diberi jolokan sebagai `Allaamah Hadhramaut, Faqih Hadhramaut, Rais Hadhramaut, Abu Tarim dan beragam lain laqab kemuliaan dan penghormatan.Beliau dilahirkan di Kota Tarim pada 29 Sya'ban 1250H. Ayahanda beliau, Habib Muhammad al-Masyhur adalah seorang `alim yang khumul, manakala bonda beliau adalah Syarifah Syaikhah binti `Abdur Rahman bin `Ali al-Haddad, seorang wanita yang sholehah lagi berilmu tinggi. Dalam keluarga yang penuh keshalihan dan ilmu inilah al-Habib `Abdur Rahman dibesarkan. Selain kepada kedua orang tuanya, beliau menuntut ilmu dengan para ulama lain di Tarim, antaranya dengan al-Habib `Umar bin Hasan al-Haddad, Habib Muhammad bin Ibrahim BilFaqih, Habib Muhsin bin `Alwi as-Saqqaf, Syaikh Muhammad bin `Abdullah BaSaudan dan Habib `Abdullah bin Husain bin Thahir rahimahumullah. Di tangan Habib `Umar bin Hasan al-Haddad, sempat beliau mengaji kitab-kitab sebesar Minhaj Imam an-Nawawi, Tuhfah Imam Ibnu Hajar dan Shahih Imam al-Bukhari. Beliau turut mendalami pengajian tasawwufnya dengan Habib Hasan bin Shaleh al-Bahr, Habib Abu Bakar bin `Abdullah al-Aththas dan Habib Ahmad bin Muhammad al-Muhdhar rahimahumullah.

Habib `Abdur Rahman termasuk penuntut yang tinggi kesungguhan dalam mencari pengetahuan. Selama di Tarim, beliau mengikuti 12 mata pelajaran daripada guru-gurunya dengan berpandukan 12 syarah kitab dan 7 hasyiahnya. Sering juga beliau berulang alik ke Seiwun dengan berjalan kaki semata-mata untuk mengikuti pelajaran yang disampaikan oleh guru-gurunya di sana. Tidak hanya Tarim dan Seiwun, Habib `Abdur Rahman telah menjelajah berbagai pelosok Hadhramaut dan al-Haramain demi mencari ilmu sehingga beliau menjadi seorang yang benar-benar alim dalam berbagai cabang ilmu seperti tawhid, fiqh, tasawwuf, hadits, tafsir, falak dan ilmu-ilmu alat, sekalipun usia beliau masih tergolong muda belia. 

Ketika guru beliau, Habib Ahmad bin `Ali al-Junaid, wafat, beliau dilantik untuk menggantikan posisi gurunya. Pengajian-pengajiannya dilaksanakan di berbagai tempat di Tarim. Di kediamannya sendiri turut diadakan majlis-majlis taklim umum dan khusus. Juga beliau diamanahkan untuk menjadi mudir pertama bagi Rubath Tarim yang masyhur itu. Beliau menghabiskan sebahagian besar waktunya untuk berkhidmat kepada umat. Kalau tidak berdakwah dan mengajar, beliau sentiasa menyibukkan dirinya dengan menulis, merumuskan fatwa atau mentelaah segala kitab. Beliau juga menulis jadwal shalat untuk kegunaan masyarakat.

Ibadah beliau juga luar biasa. Sejak kecil lagi beliau sudah bangun malam untuk beribadah kepada Yang Maha Esa. Amalan -amalan sunnat, baik berupa shalat maupun puasa, sentiasa menjadi wiridnya selain bacaan al-Quran, zikir dan shalawat. Shalat fardhunya sentiasa berjemaah, bahkan beliau telah menjalankan tugas menjadi imam di Masjid Syaikh `Ali bin Abu Bakar as-Sakran selama 40 tahun. Di masjid tersebut jualah tempat beliau sering beruzlah dan berkhalwat untuk beberapa waktu. Kitab Bughyatul Mustarsyidin itu ditulisnya ketika sedang menjalani khalwat di masjid tersebut. Selain Bughyah, beliau mempunyai beberapa karya lain, antaranya, Ikhtisar Fatawi Ibnu Ziyad dan Syamsudz Dzahirah.

Habib `Abdur Rahman al-Masyhur juga berjaya mencetak murid-murid yang menjadi ulama besar seperti Habib Muhammad bin Hadi as-Saqqaf, Habib Muhammad bin Hasan `Aidid, Habib `Abdullah bin `Alwi al-Habsyi, Habib `Abdullah bin `Umar asy-Syathiri, Habib `Abdul Bari bin Syaikh al-`Adyrus, Habib Ahmad bin `Abdur Rahman as-Saqqaf, Habib `Alwi bin `Abdullah bin Syihab, Habib `Ali bin `Abdur Rahman al-Masyhur dan Habib `Alwi bin Abdur Rahman al-Masyhur.

Habib `Abdur Rahman al-Masyhur tutup usia pada hari Jumaat, 15 Shafar 1320H dan dimakamkan pada kesokan harinya. Beliau dimakamkan di permakaman Zanbal setelah shalat jenazahnya diimamkan oleh anakanda beliau, Habib `Ali bin `Abdur Rahman al-Masyhur. Semoga beliau dirahmati sentiasa oleh Yang Maha Esa dan diberi sebaik-baik balasan di sana ....aaamiiin....al-Fatihah.

Isnin, Oktober 17, 2011

Utamakan Aqidah Shahihah

Aqidah yang benar adalah teras dan tunjang kehidupan beragama. Tanpa 'aqidah yang benar, apalah nilainya segala perbuatan dan amalan sholeh di sisi Allah SWT, semuanya akan jadi haba-an mantsura (debu-debu yang berterbangan tanpa sebarang nilai). Malangnya timbul di Malaysia ini sebagaimana juga di lain-lain tempat dalam ini dunia, golongan yang meminggirkan persoalan 'aqidah dan mengutamakan yang lebih rendah daripadanya. Atas nama ukhuwwah, mereka pinggirkan perbezaan 'aqidah, atas nama persatuan dan kesatuan, lalu perkara pokok, perkara 'aqidah dipinggirkan bahkan dipandang sepi. Atas nama perpaduan, maka 'aqidah dikesampingkan. Bukanlah kita nak kata ukhuwwah tidak penting, persatuan dan kesatuan tidak penting, dan dan dan sebagainya, tapi cuma nak kata bahawa apa-apa pun 'aqidah benar hendaklah diutamakan.

Inilah yang berlaku dalam umat Islam apabila mereka sanggup memejam mata atas kesesatan Syiah, semata-mata kerana hendakkan persatuan dan perpaduan atau atas nama menjaga ukhuwwah. Berapa ramai ulama kita yang tulus ikhlas yang sentiasa berlapang dada dan bersangka baik telah tertipu dengan mainan puak sesat bergelar Syiah, terutama sekali yang mendakwa diri mereka pengikut Imam - Imam Ahlul Bait yang mulia. Syiah mahu kita untuk menerima mereka sedangkan dalam masa yang sama mereka terus menerus menolak dan menyesatkan kita. Bahkan bukan sahaja kita yang dhaif ini disesatkannya, hatta para sahabat semulia Sayyidina Abu Bakar ash-Shiddiq RA pun tidak lepas daripada cacian mereka. Jika pun sekarang mereka mencanangkan bahawa ulama kontemporari mereka melarang mencaci sahabat, tapi sejauh mana keikhlasan dan kesungguhan mereka untuk mematuhi fatwa tersebut, atau fatwa itu hanyalah taqiyyah puak tersebut yang memang terkenal mengamalkan taqiyyah untuk mengelabui mata orang.

Satu ketika terpapar kat YouTube, "Hujjatul Islam" mereka mendakwa bahawa dalam Syiah tiada ajaran menyiksa diri sewaktu menyambut Asyura, tetapi jika itu benar maka kenapa ianya masih dilakukan oleh ramai puak Syiah di Iran, India, Pakistan dan sebagainya??? Kamu biar betul !!!! Adakah "Hujjatul Islam" tersebut sengaja menyembunyikan fakta ini untuk mengelirukan masyarakat kita. Kat Mesia ni pun katanya depa dah mula meratap main pegang-pegang kepala, main pukui-pukui kepala, la ni baru pakai tangan, sikit masa lagi mau depa guna pisau atau belantan gamaknya. La ni kepala depa sendiri depa tepuk, kalau dibiarkan mau kepala kita pulak depa luku.....

Oleh itu marilah kita perkukuhkan benteng Ahlus Sunnah wal Jamaah. Kepada puak Syiah, kembalikan kepada ajaran yang sebenar, Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang memuliakan para ahli bait dan juga para sahabat Junjungan Nabi SAW.


Khamis, Oktober 13, 2011

100 kali Shalawat - Ibnu Mandah

Dalam mawlid al-Barzanji dalam mengisahkan tentang khilaf mengenai status Islamnya Tsuwaibatul Aslamiyyah, ibu susuan Junjungan Nabi SAW, lalu dinyatakan pendapat Imam Ibnu Mandah @ Ibnu Mundah. Lalu siapakah Ibnu Mandah @ Ibnu Mundah ini? Beliau adalah  Muhammad bin Ishak bin Muhammad bin Yahya bin Mandah @ Mundah. Dilahirkan pada tahun 310H atau 311H dan wafat dalam tahun 395H. Seorang ulama ahli hadits yang bertaraf al-Imam al-Hafiz. Imam adz-Dzahabi memuji beliau sebagai Imam ahli hadits bertaraf hafiz yang banyak merantau dalam menuntut ilmu dan beliau banyak menghafal hadits lagi kuat hafalannya lagi tsiqah. Guru-guru beliau mencapai 1,700 orang walaupun usianya hanya sekitar 84 tahun sahaja. Imam al-Bathriqani pula menyebut Ibnu Mandah @ Ibnu Mundah sebagai Imamnya para pemuka ahli hadits. Diceritakan juga bahawa Imam Abu Nu`aim apabila disebut nama Imam Ibnu Mandah di hadapannya, berkata bahawa Imam Ibnu Mandah al-Hafiz adalah satu gunung dari segala gunung (yakni gunung-gunung keilmuan). Namun Imam Ibnu Mandah juga turut menerima kritikan mengenai beberapa riwayat beliau yang dinilai sebagai riwayat yang saqithah, maudhu` dan dhaif oleh ahli-ahli hadits yang lain. Imam adz-Dzahabi selain memuji beliau turut memuatkan kritikan terhadap beliau, namun ianya dilakukannya dengan penuh adab kesopanan yang selayaknya menjadi pakaian umat Islam apa lagi ulamanya. Inilah sekilas mengenai Imam Ibnu Mandah rahimahullah.

Imam Ibnu Mandah meriwayatkan dalam "al-Fawaaid", Imam al-Ashbahaani meriwayatkan dalam "at-Targhib", Imam ad-Dailami meriwayatkan dalam "Musnad al-Firdaus" dan Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam "Hayatul Anbiya`", bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda:-
من صلى علي مائة في يوم الجمعة و ليلة الجمعة قضى الله له مائة حاجة سبعين من حوائج الأخرة و ثلاثين من حوائج الدنيا ثم وكل الله بذلك ملكاً يدخله علي في قبري كما يدخل عليكم الهدايا إن علمي بعد موتي كعلمي في الحياة

"Sesiapa yang bershalawat ke atasku 100 kali pada hari Jumaat dan pada malam Jumaat, nescaya ditunaikan Allah baginya 100 hajat, 70 daripadanya hajat-hajat akhirat manakala 30 lagi daripada hajat-hajat dunia. Kemudian Allah mewakilkan satu malaikat mendatangi kuburku untuk membawa shalawat-shalawat tersebut sebagaimana datang kepada kamu seseorang membawa hadiah-hadiah. Sesungguhnya ilmuku setelah kewafatanku adalah seperti ketika aku hidup di dunia."
So tunggu apa lagi, shallu `alan Nabiy .....

Seindah-indah Tempat

"Seindah-indah tempat di dunia adalah tempat orang - orang shaleh, kerana mereka bagai bintang - bintang yang bersinar pada tempatnya di petala langit." 

 - Habib Alwi bin Muhammad al-Haddad

Sabtu, Oktober 01, 2011

Tampalan Yang Sunnat

"Sesungguhnya amalan seseorang yang paling awal dihisab pada hari Qiamat adalah shalatnya. Jika ianya sempurna, maka diberilah ganjaran yang sempurna. Namun jika ada kekurangan, maka Allah berfirman (kepada para malaikatNya): "Kamu lihatlah samada baginya shalat sunnat yang boleh dijadikan sebagai penyempurna baginya apa yang dicuaikannya dalam shalat fardhunya". Kemudian dihisabkanlah sekalian amalan lain menurut cara yang sedemikian." Begitulah mafhum pengertian sabdaan junjungan kita, Nabi Muhammad SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Imam an-Nasai rahimahullah.

Maka kita ketahui bahawa amalan-amalan nafilah atau sunnat itu faedahnya, antara lain, adalah untuk menambal atau menampal atau menjabar atau menampung kekurangan yang berlaku dalam amalan-amalan yang difardhukan. Namun jangan diertikan bahawa amalan sunnat itu boleh "menggantikan" amalan fardhu. Tidak sama sekali tidak bisa begitu. Fungsinya hanya sebagai penyempurna atau penampung atau penambal dan bukannya pengganti. Ya amalan fardhunya wujud, namun sobek, maka ditambal oleh amalan sunnatnya. Jika yang hendak ditampal ngak wujud, langsung apa yang mahu ditampal ..... angin...???

Menurut Imam asy-Syafi`i RA, kekurangan pada amalan fardhu yang boleh dijabar oleh amalan sunnat adalah kekurangan yang berlaku secara tidak disengajakan atau tanpa disedari. Manakala kekurangan yang dilakukan dengan sengaja dan sedar, maka ianya tidak dapat ditampung oleh amalan sunnat walaupun amalan sunnat tersebut banyak. Maka kekallah kekurangan yang disengajakan tersebut pada amalan fardhunya tadi. Oleh itu, apabila melaksanakan sesuatu amalan fardhu, maka lakukanlah dengan sebaik dan sesempurna yang boleh. Jangan bersikap sambil lewa dengan anggapan yang kurang nanti boleh ditampung dengan amalan sunnat. Lebih malang lagi apabila ada yang dengan sengaja meninggalkan amalan fardhu kerana beranggapan ya nanti ianya boleh ditambal dengan amalan sunnat.... Allahu ... Allah.

Makanya perhatikan penjelasan Imam kita yang mulia, Imam al-Muthalibi al-Quraisyi Muhammad bin Idris asy-Syafi`i RA, alim Quraisy yang ilmunya meliputi serata muka bumi. Penjelasan ini ese petik daripada karya seorang lagi ulama besar yang menjadi sandarannya para ulama dan awam, Syaikhul Azhar, Syaikhul Islam Ibrahim al-Bajuri rahimahullah, iaitu dalam hasyiah beliau atas Qashidah al-Burdah, pada halaman 18 beliau menulis sebagai berikut:-
"......Dan telah masyhur diketahui umum, bahawa amalan-amalan nafilah itu boleh menampung / menambal apa yang kurang dalam amalan-amalan fardhu. Tetapi Imam al-Qurthubi telah menukil dalam kitabnya "at-Tadzkirah" penjelasan daripada Imam asy-Syafi`i bahawa yang sedemikian itu adalah bagi kekurangan yang berlaku pada amalan fardhu akibat lupa atau tidak sengaja. Adapun kekurangan yang dilakukan dengan sengaja tidaklah dapat ditambal dengan amalan sunnat walau ianya amat banyak....."
 Mudah-mudahan Allah menjadikan kita sekalian orang yang istiqamah mendirikan segala amalan yang difardhukanNya atas kita dengan sempurna lagi diterima, di samping istiqamah melaksanakan sebanyak mungkin amalan - amalan sunnat yang diredhaiNya. Juga mohon dijauhkan daripada tergolong dalam golongan yang mencuaikan amalan fardhu mereka, juga daripada tergolong dalam kalangan yang mengutamakan perkara sunnat tetapi mengabaikan tuntutan yang fardhu ..... mohon dijauhkan Tuhan yang Maha Agung.

Khamis, September 29, 2011

Haul Sulthan aali Ba `Alawi

7 Dzulqaedah setiap tahun diperingati sebagai hari haulnya Imam al-Haddad rahimahUllah. Adat atau tradisi "haul" atau "hol" sudah tidak asing lagi dalam masyarakat kita di Nusantara. Tradisi ini bukanlah perkara yang dibuat-buat sendiri oleh orang-orang Melayu, tetapi adat yang telah diterima daripada para ulama terdahulu. Tradisi ini juga wujud dalam masyarakat Islam di berbagai pelosok dunia termasuklah Kota Suci Makkah al-Mahmiyyah. Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani rahimahUllah menulis dalam "Nihayatuz Zain" halaman 281 sebagai berikut:- "... Dan telah menjadi adat kebiasaan orang untuk bersedekah bagi si mati pada hari ke-3 dari kematiannya, hari ke-7, pada sempurnanya hari ke-20, hari ke-40, hari ke-100, dan setelah itu dilakukan setiap tahun pada genapnya haul dari tarikh kematiannya...."

Kebiasaannya dalam majlis hol ulama, akan diperdengarkan serba sedikit mengenai biografi atau riwayat hidup almarhum Shohibul Haul. Dengan pembacaan manaqib dapatlah kita mengenali Shohibul Haul dan jasa-jasa beliau. Imam al-Haddad rahimahUllah, sedikit sebanyak, pasti ada jasanya kepada kita, umat Islam Nusantara, melalui dakwah para pendakwah yang datang dari Timur Tengah khususnya Hadhramaut. Maka sewajarnya kita mengenang jasa-jasa beliau dan juga jasa-jasa sekalian ulama yang telah menyampaikan kepada kita ajaran Junjungan Nabi SAW yang menjadi suluh dalam kehidupan kita. Membaca sejarah para pemuka Islam ini mempunyai faedah dan kelebihan tersendiri. Cukuplah faedahnya jika perjalanan hidup mereka menjadi tauladan bagi kita dalam menuruti jejak langkah Junjungan Nabi SAW. Inilah antara tujuan kita untuk mengadakan haul Imam al-Haddad. Bukannya untuk bermegah-megah atau untuk pamer. 


Oleh itu, diharap yang hadir mengikhlaskan niat dan begitulah juga dengan para penganjurnya. Janganlah lebih sudu dari kuah, sehingga Shahibul Haul ditenggelamkan oleh shahibul majlis. Yang diperingati Shahibul Haul, ya shahibul majlis nanti pasti lumayan ganjarannya di akhirat. Ingatilah kisah saudagar yang hendak mendirikan masjid dengan Imam al-Haddad. Majlis hol bukan sekadar menyampaikan dakwah, ya kalau dakwah ngak perlu nunggu haul, kapan saja bisa dilaksanakan. Jangan dakwahnya nunggu haul ... Allahu... Allah. Jangan, jangan, dakwah itu jangan dihauli, dakwahnya biar terus hidup, dakwah ya jalan terus sepanjang masa setiap ketika, dengan bicara dan juga dengan akhlak etika. Namun jika majlis hol dijadikan sebagai media dakwah, ya memang seharusnya begitu, bahkan apa sahaja yang kita lakukan sebagai umat Islam harus diusahakan menjadi sebagai satu dakwah menyeru kepada Islam, kepada Iman, kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Sungguh manfaat memperingati ulama dan awliya` ini amat besar sehingga Imam 'Abdul Rahman al-Masyhur rahimahUllah, mufti Hadhramaut, menulis dalam karya beliau "Bughyatul Mustarsyidin" sebagai berikut:-

Dan telah warid dalam satu atsar daripada Sayyidil Basyar SAW bahawasanya baginda bersabda: " Sesiapa yang menulis sejarah seorang mukmin (yakni seorang yang benar-benar beriman viz. wali), maka seumpama dia menghidupkannya. Sesiapa yang membaca sejarahnya seumpama dia menziarahinya. Sesiapa yang menziarahinya, maka pasti dia memperolehi keredhaan Allah ta`ala dalam kenyamanan syurga dan menjadi hak (yakni kewajipan) bagi seseorang untuk memuliakan penziarahnya."
Habib Muhammad bin Salim al-Hafiz, Habib Hasan bin 'Abdullah asy-Syaathiri dan al-'Allaamah Syaikh Saalim bin Sa`id Bukair rahimahumUllah dalam ta'liq mereka atas "Bughyatul Mustarsyidin" menyatakan atsar tersebut turut disebut oleh Imam as-Sakhawi al-Hafiz rahimahUllah dalam karya beliau berjodol " al-I'laan bi at-Tawabikh li Man Dzam at-Taarikh"

Maka sewajarnya sedikit sebanyak manaqib atau sejarah hidup beliau diceritakan agar menjadi i'tibar dan motivasi bagi para pendengar sekalian. Dan perlu ditekankan aqidah yang menjadi pegangan Imam al-Haddad dan juga yang menjadi pegangan para saadah Ba `Alawi zaman berzaman, apatah lagi dalam suasana sekarang di mana kesesatan telah mula menjalar merata sehingga turut mengenai keluarga saadah yang mulia ini. Juga istimewa bagi holnya Imam al-Haddad, peninggalan berharga beliau yang berupa amalan ratib al-Haddad jangan dilupa. Kan sejarahnya ratib yang ma'tsur ini disusun oleh Imam al-Haddad antaranya sebagai penangkis kepada ajaran sesat Zaidiyyah. Moga Allah menyelamatkan  kita sekaliannya daripada kesesatan aqidah.

Mudah-mudahan dengan menghadiri haul seorang waliyUllah dan ulama besar seumpama Imam al-Haddad, kita memperolehi madad dan nadzrah Shohibul Haul yang bermuarakan syafaat dan jah Baginda Rasul SAW. Sesungguhnya Shohibul Haul, al-Imam al-Habib al-Quthub al-Ghawts 'Abdullah bin 'Alawi bin Muhammad al-Haddad al-Husaini asy-Syafi`i at-Tarimi rahimahumUllah adalah seorang ulama yang tidak dipertikaikan kewaliannya. Mereka - mereka yang sezaman dengan beliau telah mempersaksikan hal ini. Tersebut dalam beberapa manaqib Imam al-Haddad, antaranya "Busyral Fuad bi tarjamah al-Imam al-Haddad" karya Habib 'Alwi bin Hasan al-Haddad rahimahumAllah, "Nurul 'Ain wal fuad fi ba'dh manaqib as-Sayyid 'Abdillah bin as-Sayyid 'Alawi al-Haddad" karangan Syaikh Muhammad Taqiyuddin bin 'Umar bin 'Abdul Qaadir az-Zur`ah rahimahUllah dan "Irsyaadul 'Ibaad li ba'dhi manaqib Quthubil Irsyaad wa Ghawtsil 'Ibaad wal Bilaad 'Abdillah bin 'Alawi al-Haddad" karya Habib 'Aqiil bin Muhammad as-Saqqaf rahimahUllah, bahawa Quthubul Anfaas al-Habib 'Umar bin 'Abdul Rahman al-'Aththas rahimahUllah sangat memuliakan Imam al-Haddad dan memujinya dengan pujian-pujian yang tinggi. Bahkan jika Imam al-Haddad hadir, maka Imam al-Haddadlah yang akan disuruh menjadi Imam, mengepalai doa dan memulakan majlis. Begitulah ketinggian Imam al-Haddad dan kekhumulan Imam al-'Aththas. Manakala al-'Arif billah al-Habib 'Ali bin 'Abdullah al-'Aydrus rahimahUllah, Shohibu Surat, menyatakan bahawa Imam al-Haddad adalah SULTHAN KELUARGA BA 'ALAWI pada zamannya.

Maka marilah kita datang memeriahkan majlis haul Sulthan aali Baa 'Alawi ini. Datanglah kerana Allah ta`ala, kerana Rasulullah SAW, kerana al-Habib rahimahUllah, tanpa mengira siapa yang akan memberi tausyiah dalamnya nanti. Dambakanlah rahmat Allah yang akan diturunkan tatkala para sholihin diingati, dambakanlah syafaat Junjungan Nabi SAW tatkala para pewaris baginda dimuliakan, dambakanlah madad daripada al-Habib tatkala ratibnya dibaca. Insya-Allah, pasti keihsanan akan dibalas dengan keihsanan. Allah Maha Pemurah.

يا الله يا جوّاد ، جد لنا بالمراد
بالحبيب قطب الإرشاد
عبد الله الحداد

Syaikh `Abdullah al-Lahji

Syaikh al-Faqih al-Muarrikh al-Muhaddits al-Lughawi al-Adib `Abdullah bin Sa`id bin Muhammad bin `Ubaadi al-Lahji al-Hadhrami adalah seorang ulama besar, Mufti asy-Syafi`iyyah Kota Makkah al-Mahmiyyah. Beliau dilahirkan di Kota Lahj, Yaman pada tahun 1343H. Dilahirkan dalam keluarga ulama yang kuat beragama. Sejak kecil beliau telah menghafal al-Quran dan berbagai matan di bawah asuhan ayahandanya sendiri. Kemudian, beliau dihantar oleh ayahanda beliau ke Kota Hauthah untuk menimba ilmu di bawah Syaikh Hasan `Abdullah Ibrahim sehinggalah ayahandanya meninggal dunia pada tahun 1354H, di mana beliau telah dilantik untuk menggantikan tugas ayahandanya menjadi muadzin, khatib dan imam. Semua tugas tersebut dipikul beliau dengan penuh ikhlas dan amanah, selain tugas menjadi imam, di mana beliau kerap menolak untuk menjadi imam kerana sikap tawadhu'nya.

Pada tahun 1358, beliau meneruskan pengajiannya dengan para ulama di Kota Marawa`ah. Beliau menetap di kota tersebut sehinggalah tahun 1361 di mana pada tahun tersebut beliau berpindah ke Kota Zabid untuk menimba ilmu dengan para ulamanya. Beliau menetap di Kota Zabid sehinggalah gurunya wafat pada tahun 1372H.

Pada tahun 1374, Syaikh `Abdullah berangkat ke Hejaz untuk menunaikan fardhu haji  dan beliau tinggal di Kota Makkah selama setahun sebelum pulang ke Yaman. Dalam tahun 1377, beliau memutuskan untuk berhijrah ke Kota Makkah dan tetaplah beliau tinggal di sana sehingga kewafatannya pada tahun 1410H.

Di antara guru-guru beliau, selain ayahandanya sendiri, adalah Syaikh Hasan `Abdullah Ibrahim, Sayyid `Abdur Rahman bin Muhammad al-Ahdal, `Allaamah `Abdullah bin `Ali al-Amudi, Sayyid `Abdullah bin Ahmad al-Haddar, Sayyid `Alawi al-Maliki, Syaikh Hasan al-Masyat, Syaikh Muhammad al-`Arabi al-Tubbani, Syaikh Muhammad Yasin al-Fadani, Sayyid Muhammad Amin Kutbi, Syaikh Hasan bin Sa`id al-Yamani, dan ramai lagi, rahimahumullah. Murid-murid beliau juga ramai, antara mereka ialah Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin `Alwi al-Maliki, Dr. Sayyid Ahmad `Abdul `Aziz al-Haddad, Sayyid Muhammad Husain al-Qadimi dan Sayyid Qasim al-Ahdal.

Syaikh `Abdullah juga mengarang berbagai jenis karya, antaranya:-

1- إيضاح القواعد الفقهية لطلاب المدرسة الصولتية
2- إعانة ربِّ البرية على جمع تراجم رجال الحديث المسلسل بالأولية
3- المرقاة إلى الرواية والرواة
4- رسالة جمع فيها أربعين حديثاً
5- منتهى السول على وسائل الوصول إلى شمائل الرسول
6- إسعاف أهل الخبرة بحكم استعمال الصائم للإبرة
7- حديقة الأبرار شرح بهجة الأنوار
8- نظم في الغزوات
9- فتح المنان في شمائل شيخنا عبد الرحمن
10- نظم في القيلات المعتمدة في المنهاج للنووي
11- الأجوبة المكية عن الأسئلة الجاوية
12- حسنات الزمن في تراجم علماء اليمن

Syaikh `Abdullah al-Lahji meninggalkan dunia yang fana ini di Makkah pada 26 Jamadil Awwal 1410H dalam usia 67 tahun. Mudah-mudahan hujan rahmat Tuhan yang Maha Rahim sentiasa tercurah ke atas beliau dan keberkatannya mengalir kepada sekalian umat....al-Fatihah.

Rabu, September 28, 2011

Kongres Majlis Agama - Titah DiRaja

TITAH DIRAJA
DULI YANG MAHA MULIA
PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN
RAJA NAZRIN SHAH
DI KONGRES MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI
SELURUH MALAYSIA.
TARIKH: 26 SEPTEMBER 2011 (ISNIN); MASA: 11.30 PAGI
TEMPAT: DEWAN MERDEKA
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR.
Bismillahi Rahmani Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Segala puji tertentu bagi ALLAH Subhanahu Wata’ala yang memiliki dan menguasai segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan bagi Nya (pula) segala puji di akhirat, dan Dialah saja Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.[1]  Hamba-Mu ini, dengan hati yang bening – ingatan yang hening, melafazkan seikhlas tutur dari denyut nadi – menzahirkan setulus kalam dari pancaran hati, kalimah kesyukuran yang setinggi-tingginya atas anugerah rahmat dari Mu jua Ya ALLAH, mengangkatkan martabat Hamba-Mu ini untuk menyempurnakan satu tanggung jawab fardu kifayah di pagi ini. Dengan segala kerendahan sifat – kelemahan kudrat, hamba-Mu mohon mendapat petunjuk dan panduan dari Mu jua.

2.         Selawat dan kesejahteraan ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad Sallallahu Alai Wassalam, semulia-mulia kejadian.  Demikian juga ke atas keluarga dan para sahabat Baginda yang merupakan bintang-bintang penunjuk mencernakan cahaya, seterusnya ke atas sekalian para Tabiin dan para ulama yang berperanan sebagai penyuluh daripada kegelapan.  Semoga memperoleh ihsan daripada ALLAH Subhanahu Wata’ala sehingga ke hari kebangkitan.
“ WALLAHI,  WABILLAHI, WATALLAHI
Maka dengan lafaz ini berikrarlah kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan bagi Malaysia dengan mengikut sebagaimana Undang-undang dan Perlembagaan Negeri yang telah disah dan dimasyhurkan dan yang akan disah dan dimasyhurkan di masa hadapan ini.  Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam dan berdiri tetap atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri.”

3.         Demikian lafaz ikrar sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong selaku Ketua Utama Negara.  Status Ketua Utama Negara bukan sekadar simbol hiasan.  Status Ketua Agama Negara menuntut kepada penyempurnaan tanggung jawab besar memenuhi amanah.  Terkandung lima kata kunci dalam sumpah jawatan tersebut; ia itu: Undang-undangPerlembagaan NegeriAgama IslamAdil dan Aman.

4.         Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia yang berlangsung pada 26 dan 27 September ini, dianjurkan, menyusuli ketetapan yang telah diperkenankan dalam Persidangan Majlis Raja-Raja.  Menjunjung titah Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Patik merafak sembah junjungan kasih setinggi-tingginya atas limpah perkenan Duli-Duli Tuanku, memberikan pengiktirafan ke atas batang tubuh Patik, menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku, untuk Patik menzahirkan Titah Diraja atas tema “MAJLIS AGAMA ISLAM PEMACU TRANSFORMASI UMMAH”.

5.         Setiap yang tersurat dizahirkan dari yang tersirat.  Ketetapan Majlis Raja-Raja memperkenankan kelangsungan Kongres ini, perlu direnung secara tajam, diamati secara halus dan diselami secara mendalam; betapa keprihatinan yang tersirat dalam ruang minda Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja Melayu tentang senario semasa negara; senario semasa negara yang harus dirangkaikan dengan lima kata kunci yang terkandung dalam sumpah jawatan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong; senario semasa negara berkaitan Islam, survival ummah dan perpaduan ummah, soal keluhuran Perlembagaan, soal kedaulatan undang-undang, soal keadilan, soal keamanan; serta lebih utama keprihatinan Duli-Duli Yang Maha Mulia itu, sebagai pewaris kepada Tujuh Wasiat yang telah diperkenankan kepada rakyat-rakyat Melayu yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu oleh sembilan Raja Melayu pada tarikh 5 Ogos 1957, lalu memberikan perkenan menurunkan tanda tangan persetujuan kepada pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.  

6.         Perlembagaan Persekutuan secara nyata menetapkan kewajipan penting Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, selaku Ketua Utama Negara untuk memelihara kesucian agama Islam pada setiap masa.  Tanggung jawab penting tersebut didukung bersama oleh sembilan Raja Melayu di Negeri-negeri.  Tanggung jawab penting tersebut telah sekian lama diamanahkan kepada Raja-Raja Melayu dan Raja-Raja Melayu telah menyempurnakan amanah tersebut dengan memastikan kesucian Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam dilindungi dari penyerapan fahaman lain hingga boleh dimurtadkan.  Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Negeri menggubal undang-undang untuk mempertahankan agama Islam dan penganutnya dari dipengaruhi unsur-unsur agama lain.

7.         Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas.  Islam terpahat kukuh di persada sejarah negara.  Islam telah tersebar di negeri-negeri Kedah, Kelantan, Pahang dan Terengganu lebih awal dari Melaka[3].  Dengan pengislaman Raja Melaka dalam tahun 1409[4], Islam bertapak lebih kuat di alam Melayu[5], dijadikan agama rasmi Melaka semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1446-1458)[6]    Kesultanan Melaka dianggap sebagai salah sebuah Kerajaan Islam yang ulung di Asia Tenggara, berperanan sebagai pusat penyebaran Islam di Nusantara[7].

8.         Risalah Islam memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat Melayu. Islam mengisi kandungan rohani, begitu serasi – begitu sebati dengan jiwa dan budaya Melayu.  Ajaran Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan umat Melayu di Malaysia.  Islam mengubah anutan agama umat Melayu kepada satu agama wahyu yang ditanzilkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala[8].  Proses pengislaman di alam Melayu berlangsung dalam masa yang singkat dan merupakan tenaga terkuat yang mencorakkan kepercayaan, nilai dan sikap masyarakat[9].  Ajaran Islam cepat menyerap di kalangan umat Melayu kerana Islam merupakan satu keratan lapisan yang diletakkan atas sistem kepercayaan yang sedia wujud, memperlihatkan kebijaksanaan umat Melayu melakukan asimilasi, menyesuaikan sistem kepercayaan lama dengan yang baru[10].

9.         Islam memberi dimensi baru kepada minda Melayu.  Ia telah mencetuskan satu revolusi pemikiran di kalangan umat, berupaya menyemai nilai dan semangat keagamaan yang luhur[11].  Islam telah merobah bukan sahaja struktur zahir masyarakat Melayu malah turut menyentuh struktur batinnya[12].  Berpalinglah pandangan hidup umat Melayu, gugur dari singgahsana alam seni dan mitos yang khayal, berpindah ke alam akal dan budi yang menuntut kepada gaya tertib yang lebih teratur, berjaya membina daya rasionalisme dan intelektualisme di kalangan umat, mengangkat adab dan susila  serta kesedaran terhadap kemuliaan insan dan keagungan Tuhan[13].

10.        Beberapa pengubahsuaian lantas berlaku dalam sistem pemerintahan dengan pengenalan identiti baru.  Raja dan Kerajaan diberi taraf baru, menghapuskan konsepsi lama yang menganggap Raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, status yang meletakkan Raja sama taraf dengan tuhan, beralih kepada konsepsi bahawa Raja adalah ‘bayangan ALLAH di muka bumi (zillulah fi al-Ard)”[14].  Hubungan batiniah Raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian spiritual dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan tokoh para aulia dan anbia[15].    Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan.  Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amal makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan.  Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala[16].  

11.        Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu.  Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu.  Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak[17].  Di negeri Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing[18].

12.        Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negeri-negeri Melayu.  Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam.  Proses peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke negeri.  Hal ehwal Islam ditadbirkan secara berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk urusan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.

13.        Di negeri Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Sultan[19].  Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang jawatan Kadi[20].  Di pertengahan abad kesembilan belas, terdapat gelaran-gelaran Imam Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja Geronggong, Imam Seri Jidin Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam Pasir Salak dan Imam Siraja Dalam Istana Sultan[21].  Dalam abad kedua puluh, Majlis Orang Besar-Orang Besar dan ulama ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus tadbir hal ehwal Islam di Perak[22].

14.        Amat ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek perundangan, toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini[23].  Pengiktirafan tersebut selanjutnya diterjemahkan melalui kes Raman – lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah lex loci of the land”[24].  Begitu ketara Inggeris mengakui hakikat bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu, berkedudukan tertinggi berbanding agama-agama lain.

15.        Berasaskan hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu.  Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di kalangan penduduk Tanah Melayu.  Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat 15 buah negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka,  Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
“   If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya.  In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists.  All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in in the Federal”[25]

16.        Tradisi pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan- kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-Negeri.  Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.

17.        Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain[26], telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan; dan hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya di kenali sebagai Malaysia.  Adalah penting untuk Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara menyeluruh untuk memastikan kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.[27]

18.        Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah.  Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.

19.        Dalam kes Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus[28], Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah memutuskan antara lain:
Petikan:
“ In interpreting a constitution two points must be borne in mind.  First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation.  Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”
(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)
Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:
Petikan:
“It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution.  The Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party relating to the terms on which independence should be granted.  One of its main features is the enumeration and entrenchment of certain rights and freedoms.  Embodied in these rights are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does not claim to be new.  It already exists long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it against encroachment.”

20.        Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara kekal terjamin.  Perkara-perkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja.  Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik.  Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan.

21.        Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan[29].  Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,[30] telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan:
“… Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini.  Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdidiri sama tegak.  Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran.  Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam….”

22.        Setelah lima puluh empat tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah tiga belas Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah dua belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan sepanjang masa.  Segala persetujuan yang telah dicapai wajib dihormati.  Prinsip-prinsip asas terutama menyentuh Islam dan Melayu tidak boleh sama sekali dikompromikan.  Walau apa sekalipun alasan, walau apa muslihatnya, matlamat jangka pendek oleh mana-mana pihak, jangan sampai ke peringkat menggadaikan nasib ummah di hari ini dan di hari muka.  Ummah wajib berdiri teguh – berpendirian tegas, tidak berundur ke belakang walau setapak sekalipun.

23.        Pencerobohan-pencerobohan yang dilakukan di masa lalu, hari ini perlu dibayar dengan harga tinggi oleh ummah. Abdul’llah Munsyi mencatatkan bahawa dalam adat resam Melayu, pengajian Al-Quran diperkenalkan kepada anak sebelum mempelajari Bahasa Melayu; tetapi Rafles pada tahun 1810 telah menganjurkan supaya pelajaran bahasa Melayu hendaklah diasingkan dari dasar pelajaran Al-Quran[31].   Satu arahan yang pada hakikatnya merupakan senjata halus, memulakan pemisahan pengajian Islam dalam sistem pendidikan di kalangan ummah.  Muhammad Nejatullah Siddiqi, yang dianggap penulis paling berpengaruh di kalangan generasi pertama ahli Ekonomi Islam, menghuraikan bagaimana sistem pendidikan yang diwarisi di negara-negara Islam memisahkan pendidikan sekular dengan agama lalu menghindarkan peluang kepada umat Islam menguasai pengetahuan ekonomi[32].  Pelbagai muslihat yang dilakukan di masa lalu, hari ini telah menidakkan ummah kepada haknya; betapa kedaulatan Kesultanan Melayu Johor terhakis sepenuhnya dari lakaran sejarah Singapura dan betapa pula Kedaulatan Kesultanan Melayu Kedah di Pulau Pinang turut dipadam, dan betapa Melaka pada hari ini sudah tidak beraja lagi; dan betapa Hukum Kanun Melayu dihakis dari menjadi sumber undang-undang setelah diketepikan dengan penerimaan Common Law Inggeris.

24.        Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh.  Ia mungkin bermula dengan satu jamuan – satu nyanyian, satu perkhemahan – satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam – setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah.

25.        Beta pernah menzahirkan peringatan bahawa pencerobohan besar bermula dari perbuatan kecil.  Ia mungkin bermula dari sebuah surau, atau sebuah madrasah, atau sebuah masjid atau sebuah mimbar.  Ia bermula dari satu ungkapan, satu ucapan, satu khutbah, satu tazkirah atau satu doa; ia bermula dari pencerobohan kecil dan jika dalam menghadapi pencerobohan kecil, umat Islam masih belum insaf, masih berdegil dan masih sombong mempertahankan ego, masih memilih untuk bertelagah, maka umat Islam sebenarnya telah memberikan petanda yang salah; petanda seolah-olah menggalakkan pencerobohan lebih besar boleh dilakukan ke atas umat Islam dan terhadap institusi Islam.[33]

26.        Hari ini, kemusnahan ummah dan watan tidak lagi perlu menghadapi pencerobohan dari Alfonso de Alburque atau Rafles atau Francis Light atau Yamashita atau Mac Michael.  Pencerobohan-pencerobohan baru boleh berlaku melalui manipulasi fakta sejarah, melalui perbuatan mempersendakan lagu kebangsaan, melalui penghinaan bendera negara, melalui pelanggaran menghormati kalimah suci ALLAH yang sekian lama eksklusif kepada umat Islam.  Keangkuhan semakin berlaku -  toleransi umat Islam semakin dicabar.  Ummah kelihatan semakin dilemahkan, ia mungkin berpunca dari satu kenyataan, satu ungkapan.  Ia mungkin berpunca dari satu kekaburan dasar atau satu tafsiran yang salah; ia mungkin berpunca dari perlakuan rasuah atau perbuatan pecah amanah.  Walau apa puncanya, ia laksana anai-anai yang semakin membesarkan busut – yang semakin mereputkan ummah.

27.        Umat Islam wajib menghayati semangat  “BERSATU TEGUH-BERCERAI ROBOH”.  Umat Islam wajib mengambil iktibar dari peristiwa penyatuan yang dicerminkan oleh kaum lain dalam mempertahankan maruah mereka.  Dua patah perkataan yang terselit di antara ribuan perkataan dalam sebuah novel, yang dianggap menghina kaum mereka, telah menyatupadukan warga berketurunan India Malaysia untuk membantah secara habis-habisan.  Meskipun tidak ada niat penulis novel untuk menghina mana-mana kaum, tetapi atas semangat mempertahankan maruah bangsa, warga Malaysia berketurunan India dari pelbagai kumpulan politik, baik yang bersama kerajaan mahupun yang tidak bersama kerajaan, para akademia dan pelbagai organisasi, bercantum tekad – bergabung usaha, bersatu suara – bersatu tindakan atas nama mempertahankan maruah.  Tuntutan mereka menghasilkan kejayaan.  Semangat bersatu sedemikian atas nama maruah bangsa, sewajarnya dijadikan teladan.

28.        Islam akan terhakis apabila tanggung jawab terhadap urusan Islam gagal dipantau secara tegas.  Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa, sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada perkara-perkara prinsip menyentuh aqidah.  Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah diguna pakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam – tanpa mengendahkan  potensi yang boleh mengelirukan aqidah anak-anak Islam – tanpa mempedulikan betapa terhirisnya perasaan ummah.  Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam Al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God.  ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.  Kalimah suci ALLAH bukan sekadar “nama am” yang bermaksud “Tuhan” walau apa bentuknya.  Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam.  Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas.  ALLAH adalah nama khas, Tuhan Maha Suci – Tuhan Maha Agung.  ALLAH adalah satu-satunya Tuhan berdasarkan Kalimah Syahadah yang dilafazkan:
“Bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH”;

29.        Amatlah bahaya jika prinsip asas agama diredakan  untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.  Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini.  Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-Raja.  Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, KEESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya, ALLAH yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan.  Dalam menghadapi cabaran besar ini, berpegang dan yakinlah kepada kalam ALLAH mengikut yang terkandung dalam ayat 26 Surah Al Imran yang bermaksud:-
Petikan:
“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerinthan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki; Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.  Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.  Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu[34]

30.        BERPEGANGLAH kepada kebesaran ILAHI, dengan bersendikan keteguhan iman, untuk berani menegakkan yang hak, menentang perlakuan mungkar. Yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah ALLAH, datangnya dari ALLAH, dan ALLAH akan memberi berkat, memberi petunjuk, memberi perlindungan dan memberi kemenangan kepada mereka yang memiliki kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.  Hanya sanya kerana politik, umat Islam jangan sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang sesiapa sahaja “mengALLAHkan” apa sahaja yang mereka anggap tuhan.   Satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan aqidah.

31.        Sudah terlalu lama umat Islam di bumi ini, berfikiran selesa dengan status bangsa, status agama dan status sejarah.  Sudah terlalu lama umat Islam berfikiran selesa sebagai pewaris kepada tanah air pusaka bangsa.  Sudah terlalu lama umat Islam berpendirian selesa sebagai penduduk majoriti di sebuah negara merdeka, sudah terlalu lama umat Islam bersandarkan keselesaan kepada tiang politik yang disifatkan kukuh.  Keselesaan umat Islam telah mengulitkan mereka leka tidur di siang hari bermimpikan bahagia.  Hari ini segala-galanya telah berlalu.  Tanpa sesuatu langkah strategik – langkah berani, umat Islam dibimbangkan sedang menghitung hari, berada di ambang untuk menghadapi nasib bermusafir kelana di rumah sendiri.  Ada kalanya  umat Islam yang berani bersuara tentang bangsanya dan umat Islam yang berpendirian tegas untuk mempertahankan kesucian agamanya, dianggap melakukan dosa kepada negara-bangsanya.

32.        Ummah mengimpikan pencapaian ekonomi yang lebih baik, profesion pekerjaan yang lebih baik, taraf hidup yang lebih baik, urus tadbir negara yang lebih baik.  Ummah mengimpikan pemerintahan adil lagi saksama; pemerintahan yang berlandaskan undang-undang yang tidak dilaksanakan secara diskriminasi, melalui badan kehakiman yang berintegriti; pemerintahan yang menghormati kesaksamaan gender, keadilan sosial, menyediakan kemudahan pendidikan yang dapat membangunkan potensi insan.  Ummah mengimpikan negara yang bebas dari kekacauan dan persengketaan; negara yang mengagihkan kemakmuran secara saksama.  Sesungguhnya masih ada jurang di antara menggapai harapan dengan realiti, lalu mencetuskan pelbagai reaksi – pelbagai kebimbangan – pelbagai keresahan.

33.        Raja-Raja Melayu sejak zaman berzaman memiliki sifat prihatin terhadap kelangsungan bangsa dan kesucian agama, dua perkara yang begitu dekat di hati Raja-Raja Melayu.  Rekod-rekod perundingan membuktikan, semasa era pentadbiran Inggeris, Raja-Raja Melayu senantiasa  mengingatkan Inggeris untuk memastikan berlakunya perimbangan terhadap peribumi dalam program yang diperkenalkan oleh Inggeris baik dari segi pendidikan, pertahanan, pekerjaan, penghijrahan, pembukaan tanah dan pelbagai perkara lagi.

34.        Raja-Raja Melayu sangat prihatin terhadap masalah perpaduan ummah di hari ini.  Ummah kelihatan berada dalam babak yang begitu taksub untuk menang ‘sorak’ tanpa memikirkan kampung lamannya mungkin tergadai.  Raja-Raja sedang memerhatikan pendirian taksub kepimpinan politik di kalangan ummah, memilih untuk berpatah arang berkerat rotan, bergembira melihat yang kalah menjadi abu dan berpuas hati walaupun yang menang akan menjadi puntung-puntung arang; pimpinan politik di kalangan umat Islam hari ini tidak lagi menghayati semangat biduk berlalu kiambang bertaut.

35.        Dalam suasana pimpinan poltik di kalangan umat Islam tidak lagi mahu bersepakat, umat Islam perlu mempunyai platform penyatuan yang kukuh – platform penyatuan yang bebas dari politik berparti.  MAJLIS di bawah payung naungan Raja-Raja perlu berada di barisan hadapan memenuhi peranan kritikal ini.  Roh Islam wajib dikembalikan.  Islam itu adalah sumber kekuatan perpaduan yang amat hebat.  Islam berperanan sebagai penentu identiti, sebagai peta spiritual di dalam hidup, memberikan panduan dan makna, tujuan dan harapan, serta berperanan sebagai faktor tersangat penting untuk membina perpaduan.  Dalam konteks negara ini, Islam memberikan identiti ummah dan identiti negara.  Islam adalah benteng pertahanan kekuatan ummah, benteng pertahanan yang gagal ditembusi oleh setiap kuasa yang pernah melakukan penjajahan politik, penjajahan budaya, penjajahan ekonomi di bumi ini.

36.        Islam tidak wajar dilihat melalui lensa politik, kerana lensa politik boleh berubah.  MAJLIS AGAMA ISLAM (MAJLIS) adalah institusi bukan politik, institusi yang bertanggung jawab secara langsung kepada Raja-Raja sebagai Ketua Agama Negeri.  MAJLIS AGAMA ISLAM diwujudkan melalui Undang-undang Tubuh Negeri sebagai Pihak Berkuasa Utama Negeri mengenai hal ehwal Islam selepas Raja Pemerintah.  Institusi ini hendaklah berstatus bebas sebebasnya dari pengaruh dan campur tangan politik berparti; dan Raja pada setiap masa wajib memastikan takhta kekal di atas politik kepartian.

37.        MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI berada dalam kedudukan yang boleh memenuhi dua peranan secara bijaksana untuk memastikan kelangsungan Islam dan survival umat Islam di negara ini.  Dalam perkara-perkara yang tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan dalam perkara-perkara yang tidak menderhaka kepada Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’ wajiblah memenuhi peranan pelengkap, bekerjasama erat dengan Kerajaan yang dipilih secara demokratik; tetapi dalam apa juga usaha yang bercanggah dengan semangat asal Perlembagaan dan berunsur menderhakai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu, ‘MAJLIS’ wajib secara tegas – secara lantang, berpegang kepada prinsip, menolak serta menentang; serta segera menyembahkan kepada perhatian Raja-Raja cadangan-cadangan alternatif demi mempertahankan syiar Islam – demi menjamin ummah tidak berakhir dengan nasib berdagang di bumi sendiri.

38.        Peranan MAJLIS kini semakin kritikal dan masa tidak memihak kepada umat Islam kerana kekayaan ekonomi dan kekayaan intelek masih belum memihak kepadanya.  MAJLIS AGAMA ISLAM wajib keluar dari kepompong pendekatan yang usang dan berani mencabar tradisi yang jumud.  Dalam mendukung tanggung jawab besar terhadap ummah, ‘MAJLIS’ perlu melakukan perekayasaan, membawa minda keluar dari sangkar kurungan ciptaan Inggeris, mencelikkan pandangan untuk berupaya merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif.

39.        Hassan Al Bana dalam Usul Ishrin menggariskan Islam ialah sistem yang syumul merangkumi seluruh aspek hidup, Islam adalah negara dan watan, pemerintah dan umat, akhlak dan kekuatan, rahmat dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang, ilmu dan kehakiman; Islam merangkumi material dan harta benda, usaha dan kekayaan, jihad dan dakwah, tentera dan fikrah, akidah yang benar dan ibadat yang sah.[35]  Insan yang menerima Islam sebagai pegangan agamanya, memiliki ikatan dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Maha Pencipta.  Islam adalah Addin, satu cara hidup yang lengkap dan berkesinambungan, mengaitkan kehidupan di alam dunia dan di alam akhirat, perlu dibincangkan secara berintegrasi tanpa memisahkan komponen duniawi dengan komponen ukhrawi.  ‘MAJLIS’ wajib menghayati tafsiran sedemikian dalam hasrat melakukan transformasi peranan, transformasi agenda dan transformasi pendekatan.

40.        Justeru itu, peranan MAJLIS harus diluaskan, dimerdekakan dari minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris.  Peranan MAJLIS hendaklah ditakrifkan secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran dan tenaga pelaksana berwibawa untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik.  Selagi tindak tanduk MAJLIS tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, Negara hendaklah mengiktiraf MAJLIS sebagai institusi strategik, berpotensi menyempurnakan tanggung jawab fardu kifayah, berperanan sebagai  benteng terakhir dan terpenting untuk menjamin kelangsungan Islam dansurvival ummah walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara.

41.        MAJLIS perlu menimbangkan empat platform untuk diberikan fokus utama untuk berperanan lebih berkesan dalam membela nasib ummah.
Pertama: menyemak dan menghalusi dasar-dasar negara dan pelaksanaan dasar agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu.
Kedua:  mengenal pasti, memantau, membantu dan memperlengkap usaha-usaha Negara untuk membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi ummah.
Ketiga:  menerokai usaha untuk membangunkan modal insan dan modal sosial di kalangan ummah agar tidak tercicir dan ketinggalan dengan menyuntik perisian dan komponen latihan yang lebih relevan dengan keperluan guna tenaga semasa dalam institusi-institusi pendidikan agama di semua peringkat terutama di luar bandar.
Keempat:  memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam yang sedia ada seperti masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan sebagai pusat pembangunan kecemerlangan ummah.

42.        Kongres Ekonomi Bumiputera Ketiga yang dianjurkan dalam tahun 1992, dan Kongres Ekonomi Bumiputera Keempat yang berlangsung dalam tahun 1999, begitu juga Kongres Ekonomi Islam Ketiga pada tahun 2009, merumuskan resolusi khusus mengenai peranan masjid.  Ditegaskan pentingnya masjid berperanan lebih aktif, sebagai pusat pembangunan ekonomi, perkembangan ilmu dan pembangunan sosiobudaya.  Beta juga sering kali menzahirkan saranan supaya peranan masjid diperluaskan sebagai pusat pembangunan ilmu, pembangunan budaya dan pembangunan ekonomi.  Banyak masa terlibat dalam urusan merancang pembinaan sesebuah masjid, banyak sumber digunakan untuk membina sesebuah masjid.  Sebaik sampai ke Medinah, Rasulullah Sallallahu Alai Wassalam tidak sekadar membina masjid, tetapi membangunkan masjid.  Baginda lebih mengutamakan komponen perisian untuk memakmurkan masjid.  Falsafah di sebalik pembinaan masjid harus diselami, supaya belanja besar membina bangunan tersergam, dilengkapi pendingin udara, dihamparkan permaidani tebal, dikilau cahaya chandelier, tidak menjadi monumen sepi, sekadar dimakmurkan seminggu sekali di hari Jumaat, tiga puluh malam setahun di bulan Ramadhan, dua pagi setahun di pagi Aidilfitri dan Aidiladha.  Selebihnya, ia tinggal dalam isolasi sebagai bangunan sepi lagi sunyi.  Banyak masa, banyak usaha, banyak belanja, banyak sumber digunakan di bumi ini untuk membina masjid tetapi sedikit sekali usaha dilakukan untuk membangun dan memakmurkan masjid.

43.        Kongres Ekonomi Islam Ketiga berlangsung di Dewan Merdeka ini pada 12 hingga 15 Januari 2009.  Ramai pemikir dalam bidang ekonomi Islam membentangkan pelbagai fakta, huraian, pandangan dan cadangan.  Status pencapaian ekonomi umat Islam dibentangkan, ketidakcapaian matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) dihuraikan, merangkumi tanggapan-tanggapan negatif terhadap DEB, terutama dari aspek penyelewengan dan ketirisan yang dilakukan oleh ummah yang mengutamakan kepentingan peribadi dan tergamak mengorbankan kepentingan ummah.  Kongres menyedari pentingnya disedarkan ummah tentang cabaran sistem ekonomi persaingan yang dinamik lagi didorong oleh faktor pasaran.

44.        Salah satu kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, melaporkan bahawa, dalam tahun 1999, jumlah dana masjid yang terkumpul dianggar berjumlah tiga ratus juta ringgit tetapi disimpan beku dalam akaun pelaburan [36], mencerminkan keterbatasan pemikiran, keterbatasan pengetahuan, keterbatasan pengalaman dan keterbatasan pendedahan di kalangan ummah untuk mengupayakan mereka melaburkan dana terkumpul tersebut secara lebih produktif yang dapat dimanfaatkan untuk pertumbuhan ekonomi.

45.  Turut dipaparkan perkembangan data kutipan zakat di Malaysia, meningkat dari 320.4 juta ringgit dalam tahun 2001 kepada 806.3 juta ringgit dalam tahun 2007[37]; peningkatan kutipan 150 peratus dalam tempoh enam tahun, meningkat pada kadar purata 25 peratus setahun.  Kutipan yang bertambah hendaklah diperlengkap dengan program yang memberi impak untuk membangunkan status ekonomi Islam.  Zakat hendaklah dilihat dari lensa ekonomi yang lebih luas, dilakukan transformasi imej dan transformasi peranan, diuruskan secara lebih produktif sebagai sumber kekuatan membangunkan ekonomi ummah yang lebih bermakna hingga berupaya menjadi institusi paling berjaya membanteras kemiskinan.

46.        Data di Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji, Jabatan Perdana Menteri menunjukkan pada tahun 2006, terdapat hampir lapan puluh sembilan ribu (89,000) ekar tanah wakaf di seluruh negara.[38]  Sebahagian besar tanah tersebut tidak dapat dibangunkan secara produktif.  Dilaporkan terlalu banyak halangan dari segi syarat dan hukum yang menyebabkan sumber ekonomi umat Islam ini terikat dan tidak dapat dimajukan.  Senario ini tentulah menuntut kepada keperluan untuk para ulama dan umara di era ini melakukan ijtihad.  Kertas-kertas yang dibentangkan dalam Kongres Ekonomi Islam Ketiga, di samping melaporkan status ekonomi ummah, mengandungi banyak saranan bernas; antaranya mengenai Yayasan Wakaf Tunai, Koperasi Islam yang sangat berpotensi untuk digerakkan, Potensi Membangunkan Tanah Wakaf, Pengukuhan Institusi Mal.  Laporan lengkap Kongres setebal 875 halaman, membuktikan ummah sebenarnya tidak ketandusan idea.  Kelompangan berlaku di peringkat melaksana, cabaran berlaku di peringkat membawa keluar pemikiran sebahagian ummah untuk bersedia dan berani melakukan tafsiran yang lebih relevan dengan suasana ekonomi, suasana politik dan suasana sosial di era globalisasi.  Telah dua tahun sembilan bulan Kongres Ekonomi Islam Ketiga berlalu, sejauh manakah tindakan yang telah disusul? Institusi manakah yang telah mengambil tanggung jawab susulan secara serius?  Hari ini umat Islam sekali lagi berkongres di Dewan Merdeka ini.

47.        Sistem ekonomi Islam diturunkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala kepada umat manusia melalui wahyu[39] .  Ia adalah sebahagian dari ajaran Islam kerana itu segala hukum dan peraturannya adalah berasaskan Al-Quran, Al-Sunah, Al-Ijmak dan Al-Qias[40].  Kerana itu tindakan umat Islam dalam usaha melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dikira ibadah dengan bermatlamatkan keikhlasan kerana ALLAH Subhanahu Wata’ala.

48.        ‘MAJLIS’ sebenarnya menghadapi cabaran besar, cukup untuk mencetuskan perasaan keterujaan.  Cabaran besar memerlukan institusi yang berwibawa untuk menghadapinya.  Jika MAJLIS bersungguh mahu menghadapi cabaran besar ini, dan jika Negara ikhlas mahu melihat MAJLIS bertenaga  dan berupaya melaksanakan tanggung jawab besar ini secara berkesan dengan memberi impak yang signifikan, maka MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI hendaklah dipertingkatkan keupayaan dan diperkasakan.   Langkah-langkah awal berikut perlu dirintis:
Pertama:  Mengemaskinikan Enakmen MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI untuk mempunyai bidang kuasa yang membolehkan MAJLIS berfungsi secara lebih berkesan, memiliki autonomi dan akauntabel kepada ALLAH dan Raja.
Kedua:  Memastikan MAJLIS AGAMA ISLAM NEGERI bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian serta memastikan keanggotaan MAJLIS tidak disertai oleh individu yang aktif dalam parti politik melainkan yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak Berkuasa Negeri atau sesuatu institusi yang penting kepada MAJLIS.
Ketiga: Melantik keanggotaan yang lebih representatif dengan bilangan yang cukup dan dari kalangan yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menjadi tenaga penggerak berupaya melaksanakan aktiviti-aktiviti ekonomi, perniagaan, perdagangan, pendidikan dalam hasrat membangunkan taraf sosioekonomi umat Islam di samping melindungi kesucian Islam
Keempat:  Menerokai kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan MAJLIS secara lestari.
Kelima: Menjadi pemegang amanah kepada institusi pendidikan, tabung kewangan, dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.
Keenam:  Memperkukuhkan sumber manusia pentadbiran Majlis secara kuantiti dan kualiti dengan imbuhan setimpal yang dapat menarik modal insan berkualiti tinggi.

49.        MAJLIS hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja, bertanggung jawab terhadap perkara berkaitan Islam.  MAJLIS dapat berperanan sebagai jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja, di antara umat Islam dengan Kerajaan pilihan rakyat dan di antara umat Islam dengan warga yang tidak beragama Islam.  Negara wajib melihat MAJLIS sebagai rakan strategik yang boleh diberikan kepercayaan dan sokongan untuk kepentingan jangka panjang ummah.  MAJLIS tidak harus dibiarkan hidup bagaikan musafir kelana bersendirian mengusahakan rezeki secara kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, terus berada dalam parameter sempit yang telah digariskan oleh Inggeris pada satu masa dahulu.  Pembiayaan atau ‘endowment’ secara khusus wajib disediakan untuk akhirnya membolehkan MAJLIS mencapai status yang tidak lagi perlu membebankan negara.

50.        Jabatan Agama Islam hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan penubuhannya.  Ia ditubuhkan untuk berfungsi kepada MAJLIS dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam adalah berbeza dengan jabatan-jabatan Kerajaan yang lain.  Bahawa dari segi rohnya, penubuhan Jabatan Agama Islam, adalah untuk melaksanakan dasar-dasar dan perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis.  Tanggung jawab Jabatan Agama Islam adalah kepada MAJLIS dan kepada Raja.  Untuk itu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri perlu menghormati batas sempadan dan bidang kuasa yang terletak secara langsung di bawah budi bicara Raja, demi mengelak dari berlakunya keadaan satu kapal dua nakhoda.  Apa jua hasrat Pihak Berkuasa Negeri menyentuh Islam dan Adat Melayu hendaklah disampaikan melalui saluran MAJLIS atau dipersembahkan untuk pertimbangan Raja Pemerintah.

51.        Dalam urusan Agama Islam, Kuasa Raja Pemerintah berada di tahap paling tinggi dan wajib dipertahankan.  Ummah hendaklah mempunyai fahaman dan melakukan tafsiran yang jelas bila merujuk kepada Raja Pemerintah; bahawa yang didaulatkan adalah Takhta Pemerintahan sebagai satu institusi negara dan hendaklah disisihkan dengan sebarang perasaan kurang selesa dengan mana-mana batang tubuh peribadi.  Bahawa yang dipertahankan itu, bukan sekadar batang tubuh peribadi seorang Raja tetapi Kerajaan Baginda: kerana tanpa Kerajaan tidak akan wujud sebuah negara, tanpa negara apalah ertinya suatu bangsa[41] .  Jika takhta pemerintahan ditiadakan, akan hilanglah payung negara – payung yang selama ini memberikan naungan kepada status Islam di negara ini.  Tanpa institusi Raja berperanan sebagai Institusi Ketua Agama Islam, Islam akan berpecah kepada pelbagai puak – pelbagai kumpulan – pelbagai kabilah; masing-masing di bawah pimpinan yang berasingan; akibatnya kekuatan penyatuan usaha amar ma’ruf nahi mungkar akan beransur-ansur lemah.  Islam akan menjadi agama yang diamalkan secara individu. Pada akhirnya Islam gugur dari tanggung jawab negara, tinggal sebagai amalan rakyat yang masih cintakan agamanya; sedangkan yang tipis fahaman agamanya, akan menjadi semakin liberal – semakin bebas, malah ada di antara mereka akan sampai ke peringkat melakukan perkara-perkara yang menodai kesucian Islam.  Demikian nasib yang telah menimpa ummah di negara-negara tertentu di Asia Tengah; negara yang di suatu masa dahulu pernah menjadi pusat perkembangan tamadun Islam, melahirkan ramai ulama dan cerdik pandai Islam, kini segala-galanya hanya menjadi bahan kajian sejarah.

52.        Agama Islam dan pegangan aqidah ummah wajib dipelihara dan dilindungi sepanjang masa oleh Ketua Negara.  Islam InsyaAllah kekal menjadi identiti negara dan watan selagi kuasa dan tanggung jawab terhadap Islam kekal di bawah bidang kuasa Raja-Raja.  Secara tersurat, sejarah mencatatkan bahawa dalam perjanjian dengan Inggeris, bermula dengan Perjanjian Pangkor, Raja-Raja menyerahkan kuasa mentadbir negeri kepada Inggeris dan Inggeris bersetuju mengekalkan Islam dan Adat Melayu di bawah  kuasa Raja.  Tafsiran yang tersurat harus juga menyelami kemungkinan-kemungkinan yang tersirat; bahawa dalam perkenan Raja menyerahkan kuasa-kuasa lain, mungkin Raja sendiri sebenarnya ada muslihat, berasaskan nasihat para ulama, berpandukan petunjuk dari ILAHI, telah tidak sama sekali memperkenankan urusan Islam dan Adat Melayu disentuh, satu pendirian berwawasan jauh Raja-Raja ketika itu, yang telah menyelamatkan agama dan ummah di bumi ini.  Pernahkah digambarkan keadaan di negara ini dan nasib ummah di hari ini, jika Inggeris juga turut diberikan kuasa mentadbir urus agama dan adat.  Tentunya hari ini, status Islam tidak akan termaktub di dalam Perlembagaan Negara; sementara umat Islam tidak memiliki kekebalan dari diayah fahaman lain; membolehkan murtad begitu mudah berlaku di kalangan ummah.

53.        Betapa status Islam dan nasib malang yang bakal dihadapi oleh ummah jika institusi Raja ditiadakan, dan kerajaan pilihan rakyat yang berkuasa pada satu hari nanti, berpegang kepada doktrin pemerintahan, bahawa agama adalah urusan individu – agama adalah di luar bidang tanggung jawab negara.  Akan berkelanalah ummah, Masjid Ubudiah, (begitu juga masjid-masjid lain), mungkin bertukar menjadi muzium, tempat para pelancong dimaklumkan  bahawa di suatu masa dahulu, bangunan yang begini cantik seni binanya ini, adalah tempat ‘pengikut ajaran Muhammad’ menunaikan sembahyang.  Barang dijauhkan ALLAH dari berlakunya senario menyayat hati itu.  Untuk itu kuasa Raja Melayu dalam urusan Agama Islam dan Institusi Islam sangat perlu dipertahan dan diperkukuhkan, demi memastikan Islam terus kekal menjadi identiti Negara.  Senario yang berlaku di serata dunia menunjukkan hanya negara yang masih memiliki sistem pemerintahan beraja yang dapat meletakkan Islam sebagai agama rasmi Negara.  Dalam hasrat membina kekuatan ummah dan jati diri bangsa dan dalam hasrat memastikan kelangsungan ummah, kuasa-kuasa prerogatif yang kekal diperuntukkan kepada Raja-Raja wajib dirujuk secara bijaksana.
Ya ALLAH, Ya AZIM, Ya AZIZ, Ya MALIK, YA WAHID, TUHAN yang MAHA BERKUASA lagi MAHA MENGETAHUI

54.        Kepada Mu jua hamba-Mu memohon agar ISLAM kekal menjadi identiti negara – identiti watan; identiti ummah – identiti bangsa.  Kepada Mu juga hamba-Mu ini memohon agar melimpahkan kekuatan dan kegagahan, keberanian dan ketegasan di kalangan mereka yang telah Engkau angkatkan darjat menjadi khalifah, di kalangan mereka yang telah Engkau amanahkan dengan tanggung jawab sebagai ulama dan umara di bumi ini.  Hamba-Mu amat insaf akan Firman Mu yang terkandung dalam ayat 72 Surah Al-Ahzaab; bermaksud:
Petikan:
“ Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggung jawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya) maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya.  (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan[42]” 
Kepada Mu jua YA ALLAH

55.        Limpahkanlah segala nur dan petunjuk kepada Raja-Raja kami, demikian juga  kepada para ulama dan umara kami, untuk bersatu niat – bersatu usaha; bersatu hati – bersatu jiwa, sama-sama berjaya membentuk sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Mu – ‘BALDATUN TAYYIBATUN WA RABBUN GHAFUR’[43] seperti mana yang Engkau gambarkan dalam ayat 15 SURAH SABA.  Limpahkanlah segala ihsan Mu kepada Raja-Raja kami yang mendukung tanggung jawab berat selaku Amirul Mukminin seperti yang terkandung dalam lafaz ikrar sumpah jawatan untuk memelihara Islam – untuk menyempurnakan pemerintahan secara adil dan aman.  Hamba-Mu amat insaf betapa amanah dan tanggung jawab tersebut akan dinilai di hari kebangkitan seperti peringatan Mu yang terkandung dalam ayat 9, Surah Al Imran bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia, untuk (menerima balasan pada) suatu hari (hari kiamat) yang tidak ada keraguan padanya, Sesungguhnya ALLAH tidak memungkiri janji Nya[44]
Mohon kami YA ALLAH mendapat rahmat bimbingan dan pengampunan dari Mu jua.  Amin, Ya Rabul Alamin.

56.        Adat Melayu menetapkan tugas Raja di junjung, kerja sendiri dikendong.  Dalam semangat adat Melayu itu, sekadar ini yang dapat Patik menjunjung titah menyempurnakan hasrat Duli-Duli Tuanku Raja-Raja Melayu untuk Patik menyampaikan amanat di Kongres ini.  Dalam kapasiti patik selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, patik merafak sembah penuh taat – penuh setia kepada Duli-Duli Tuanku, dan dengan limpah rahmat dari ILAHI juga, serta daulat dan perkenan Duli-Duli Tuanku, Patik dan ahli-ahli MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT MELAYU PERAK akan setiap masa, berazam mempertahankan kesinambungan tradisi negara beraja – rakyat bersultan, agar kekal subur sepanjang masa dan akan pada setiap waktu menjunjung titah hasrat Duli-Duli Tuanku selaku payung agama dan payung negara.

Semoga Duli-Duli Tuanku Selamat Bertakhta.
DAULAT TUANKU,
ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR! ALLAH HU AKBAR.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

[1] Al-Quran –Saba – 34:1
[2] Sumpah Jawatan Yang Dipertuan Agong, Perkara 37, Jadual Keempat, Bahagian 1, Perlembagaan Persekutuan.
[3] Mahayuddin Haji Yahya, Penyebaran Islam Di Tanah Melayu Sebelum Lahirnya Kerajaan Melayu Melaka: Sejarah Dan Implikasinya dalam Polemik Sejarah Malaysia – Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia 2008) 31
[4] Encyclopedia of Islam, 1218
[5] Abdul Monir b. Yaacob, Undang-undang Islam Dalam Hukum Kanun Melaka Dalam Polemik Sejarah Malaysia-Jilid 1.  (Kuala Lumpur: Arkib NegaraMalaysia, 2008), 319
[6] Abu Bakar Abdullah, Ke Arah Perlaksanaan Undang-Undang Islam di Malaysia: Masalah Dan Penyelesaiannya, (Kuala Terengganu: Pustaka Damai, 1986) 8.
[7] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam Di Malaysia”.
[8] A. Aziz Deraman, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia: Suatu Analisis Perkembangan Kebudayaan I Malaysia, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003) 109.
[9] Ibid 105.
[10] Ibid.
[11] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 19.
[12] Ibid 22
[13] Ibid 20.
[14] Abdullah Alwi Hassan, “Perkembangan Institusi Pentadbiran Islam di Malaysia”, Konvensyen Kebangsaan Sejarah Malaysia, (Jabatan Sejarah, Universiti Malaya: 16-18 Ogos 1994), 1.
[15] Muhammad Yussoff b. Hashim, Kesultanan Melaka dan Budaya Politik dalam Polemik Sejarah Malaysia Jilid 1, (Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia, 2008) 192.
[16] T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50; S,N.H. Naqvi, Ethicsand Economy: An Islamic Approach, (Leicester: Islamic Foundation, 1981) 45-47.
[17] Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan”, Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1
[18] Ibid.
[19] Abdullah Alwi Hassan, opcit, 19.
[20] R.J. Wilkinson, Notes on Perak, History: Papers on Malay Subjects, History Pt. II, (Kuala Lumpur: F.M.S. Govt. Press, 1924) 69-71; E. Sadka, “The Journal of Sir Hugh Low, Perak. 1887”, JMBRAS, Vol. XXVII, Pt. 4, No. 168 (1954), 107-108. dlm Abdullah Alwi Hassan., 19.
[21] R.J. Wilkinson, opcit, 72, dalam Abdullah Alwi Hassan, 19.
[22] Perak State Council Minutes, 1877-82, dicetak di dalam R.J. Wilkinson, Papers on Malay Subjects, Ser 1, History Pts 3 and 4, (1907-1909), Passim; Perak Annual Report, 1932, 3. dalam Abdullah Alwi Hassan, 20.
[23] Ibid.
[24] (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin Desa.
[25] Ahmad Ibrahim: The Position of Islam in The constitution of Malaysia, 213
[26] Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
[27] Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan”, 4.
[28] (1981) 1 MLJ 29
[29] Mahamad Naser bin Disa, opcit, 6.
[30] (2000) 1 CLJ 393
[31] Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah Dan Kebudayaan Melayu, 62.
[32] Rodney Wilson, “The Development of Islamic Economics: Theory & Practice, in Islamic Thought In The Twentieth Century, ed Suha Taji-Farouki and Basheer M. Nafi (London: I.B. Tauris, 2004) 199.
[33] Raja Nazrin Shah, “Titah Sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar” anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam, 30 Ogos 2010.
[34] Al-Quran, 3:26.
[35] Abdurrahman Haqqi, ‘Lima surah sedia panduan bernegara’, Berita Minggu, 9 Ogos 2009, 32.
[36] Fidlihan Muhammad, Mohd. Yahya Mohd. Hussin, Nurul Fadly Habidin, Mad Ithnin Salleh, Salwa Amirah Awang, “Pendidikan Pelaburan Dana Masjid: Keperluan Memperkasa Ekonomi Ummah Islam”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 701.
[37] Ibid
[38] Hasnol Zam Zam Ahmad, “Cabaran Dalam Mempertingkatkan Potensi Pembangunan Tanah Wakaf”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 661.
[39] Zainal Abidin Hashim, ‘Memperkasakan Ekonomi Ummah Melalui Koperasi Islam: Satu Tinjauan Strategik”, Kongres Ekonomi Islam Ketiga, 12-15 Januari 2009, 749.
[40] Ibid.
[41] Zurinah Hassan, petikan dari “Puisi Korban Hang Tuah”, Pujangga Tidak Bernama, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), 45.
[42] Al-Quran, 33:72.
[43] Al-Quran, 34:15.
[44] Al-Quran, 3:9