Rabu, Mei 28, 2008

Bersyukurlah

ٍSegala puji-pujian dan setinggi-tinggi kesyukuran hendaknya kita panjatkan ke hadhrat Ilahi Rabbi yang masih memperkenankan kita berada dalam rahmat dan ni'mat agama yang diredhaiNya. Sungguh inilah rahmatNya yang paling besar ke atas kita, yang perlu kita syukuri dan pelihara sehingga kita kembali kepadaNya nanti. Moga Allah menjaga kita dan keturunan kita dan sekalian saudara-saudara kita kaum muslimin dari perbuatan riddah yang merupakan sekeji-keji dan sedahsyat-dahsyat kekufuran. Ingat riddah itu lebih dahsyat dari kafir asli (yakni kafir asli yang tidak memusuhi Islam seperti golongan dzimmi dan bukannya kafir harbi yang membenci dan memusuhi Islam), dan ianya punya hukum yang berbeza dengan hukum kafir asli baik bagi berhubungan dengan diri si murtad maupun berkaitan dengan hubungan kita dengan si murtad.

Mengenai kewajiban kita untuk bersyukur atas iman dan Islam ini, suka aku nukilkan pernyataan Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani dalam "Bahjatul Wasaail" halaman 33 di mana beliau menukil kalam Sidi Ibrahim bin Adham seperti berikut:-


Sesiapa yang berada di waktu pagi hendaklah dia bersyukur bagi empat perkara; (i) dia bersyukur dengan ucapan: "Segala puji bagi Allah yang telah menyinari hatiku dengan nur hidayah serta menjadikan aku daripada kalangan orang-orang yang beriman dan tidak Dia jadikan aku sesat"; (ii) dia mengucapkan : "Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan aku umat Nabi Muhammad s.a.w."; (iii) dia mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang tidak menjadikan rezekiku di tangan selainNya"; (iv) dia mengucapkan: "Segala puji bagi Allah yang telah menutupi keaiban-keaibanku".

Ikhwah, negara kita digegar dengan berita-berita orang murtad dan dalam keghairahan kita memperkatakan isu orang murtad atau pinjam istilah Ahmad Jailani isu "orang nak menentukan status agama", kita lupa apa hukumnya kita dengan orang murtad. Jangan dok asyik fikirkan hukuman ke atas orang murtad, hingga lupa bahawa kita yang tak murtad ni, alhamdulillah, juga terikat dengan hukum berinteraksi dengan orang murtad.

Sebagaimana yang diketahui seseorang menjadi murtad jika dia melakukan apa-apa perbuatan murtad walaupun tanpa pengisytiharan mana-mana Mahkamah. Jadi kenapa kita nak bising-bising suruh Mahkamah buat pengisytiharan, kerana tanpa pengisytiharan murtad pun si murtad tetap dihukumkan murtad. Mahkamah hendaklah membuat pengisytiharan hanya jika ianya bermaslahat kepada agama dan umat Islam; Dan bukannya untuk maslahat serta kepentingan si murtad tersebut.

Seperkara lagi ialah sewajarnya Mahkamah sebelum membuat pengisytiharan tersebut memerintahkan agar si murtad tadi untuk bertaubat dan kembali kepada Islam. Memanglah Mahkamah Syariah tidak diberi peruntukan untuk menjatuhkan hadd ke atas si murtad tadi, tetapi apa pula yang menghalang Mahkamah untuk memerintahkan agar si murtad untuk bertaubat sebagaimana dikehendaki oleh Syarak sebelum hadd dijatuhkan. Adakah kerana tiada peruntukan untuk hadd riddah, maka perintah untuk bertaubat juga diketepikan?????

Dalam hangat memperkatakan patut atau tidak kes murtad dibawa ke Mahkamah, nampaknya kita lupa tentang isu penting yang berhubung kait dengan hubungan kita selaku orang Islam dengan orang murtad. Bagaimana kita menanggapi dan berhubung dengan orang-orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita bermuamalah dan bermujammalah dengan orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita bergelak ketawa atau bergurau senda dengan orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita memberi pertolongan kepada orang murtad? Adakah Islam membenarkan kita bergaul dengan orang murtad? Adakah kita dibenarkan oleh Islam menolong orang murtad memfailkan kesnya ke Mahkamah, tak kiralah mahkamah mana? Bolehkah kita menjadi jurucakap orang murtad dalam perbicaraan kes murtadnya di Mahkamah? Apa pulak hukum "legal fee" yang diterima daripada orang murtad, halal ke haram? Untuk menjawabnya, kenalah bertanya kepada ulama kita yang berwibawa, ulama yang hanya takutkan Allah, ulama yang tidak takut kepada celaan manusia dalam memperkatakan hukum Allah s.w.t. Bukan ulama yang dok takut orang kutuk kata kita zalim sebab tak isytihar si polan murtad.... Allahu ... Allah. Deme ni, bercakap bukan main gah lagi, tapi masih takutkan lawmatal laim lagi, dalam takbir raya bukan main lagi - walau karihal kafirun walau karihal musyrikun, tapi nape dalam bab ni takutkan kutukan musuh-musuh Islam. Percayalah musuh-musuh Islam akan terus mengutuk dan memburuk-burukkan Islam sehinggalah kita mengikut cara mereka dan meninggalkan pegangan kita.

Akhirul kalam, aku cuma nak nukilkan satu hadits yang Imam Hujjatul Islam al-Ghazali sebut dalam "Bidayatul Hidayah", di mana Junjungan Nabi s.a.w. bersabda:-

"Sesiapa yang menolong atas satu kemaksiatan walaupun hanya dengan setengah perkataan, jadilah dia bersekutu dalam maksiat tersebut (yakni bersekutu dalam dosa maksiat tersebut)."
Allahu ... Allah, perhatilah wahai ikhwah. Ingat juga firman Allah s.w.t. yang memerintahkan kita bertolong bantu hanya atas kebajikan dan ketaqwaan dan menegah kita bertolong bantu atas kemaksiatan dan permusuhan.


Tiada ulasan: