Rabu, Mac 19, 2008

Tuan Guru Haji 'Abdullah

Pagi tadi, sekitar jam 7.10 pagi, telah kembali seorang lagi ulama besar yang terkenal bermulut masin. Tuan Guru Haji 'Abdullah bin Haji 'Abdul Rahman bin Haji Che Wan bin Senik bin Haji Muhammad bin Lebai 'Abdul Lathif telah dilahirkan pada hari Jumaat, 11 Februari 1933 di Lubok Tapah, Pasir Mas, Kelantan. Memulakan pengajiannya dengan ayahandanya sendiri, Tuan Guru Haji Abdul Rahman, selain guru-guru lain antaranya Tuan Guru Haji Yusof @ Haji Jusoh.

Pada tahun 1953, beliau melanjutkan pengajiannya ke Makkah al-Mukarramah untuk menimba ilmu dengan para ulama di Masjidil Haram. Setelah lebih kurang 14 tahun menimba ilmu di sana, beliau akhirnya kembali ke Kelantan dan menjadi penerus kepada pondok ayahandanya di Lubok Tapah. Antara guru-guru beliau di sana ialah:-
  1. Syaikh Ismail bin 'Abdul Qadir al-Fathani (Pak Da `Eil);
  2. Syaikh 'Abdul Qadir bin 'Abdul Muthalib al-Mandili;
  3. Syaikh Zakaria Bilal;
  4. Syaikh Muhammad Daud Sulaiman al-Kelantani;
  5. Syaikh Hasan Muhammad al-Masyath;
  6. Habib 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki;
  7. Syaikh Muhammad 'Arabi at-Tabanni;
  8. Syaikh Mukhtar Amfanani;
  9. Syaikh Muhammad Yaasin al-Fadani;
  10. Syaikh Sholih Idris al-Kelantani;
  11. Syaikh Abdul Rahman Daud al-Kelantani;
  12. Syaikh Muhammad Nur Bahraini;
  13. Syaikh Sayyid Muhammad Amin; dan
  14. Syaikh 'Abdul Jalil al-Indonisi.
Ketokohan beliau dalam bidang ilmu amatlah nyata sehingga mendorong Mufti Haji Muhammad Noor bin Haji Ibrahim untuk melantik beliau menganggotai Jemaah Ulama Negeri Kelantan pada tahun 1968. Rabu 19 Mac 2008 bersamaan 11 Rabi`ul Awwal 1429H, kita kehilangan tokoh ulama ini kerana Allah yang Maha Pengasih telah memanggil kembali beliau ke hadhratNya. Mudah-mudahan Allah sentiasa mencucuri rahmat dan kasih sayang ke atas almarhum serta menempatkan beliau di kalangan para kekasihNya. ... al-Fatihah.

************************

اقرأوا على موتاكم يس


1 ulasan:

Shamsuddin Abdul Kadir berkata...

Semoga Allah menepatkan rohnya di sisi orang yang peroleh rahmat dan nikmat daripada Allah. Amin