Sabtu, November 10, 2007

Hadis az-Zanjaani

Siapa yang tidak kenal dengan Imam as-Sayuthi ? Beliau yang hidup sekitar 849H - 911H, adalah seorang ulama besar yang menguasai berbagai cabang ilmu pengetahuan termasuklah ilmu hadis serta mustholah dan ilmu rijal serta jarh wa ta'dil. Karangan-karangan beliau cukup banyak sehingga menjangkau lebih-kurang 981 buah karya yang bernilai tinggi, menjadi rujukan para santri zaman berzaman. Nama lengkapnya ialah `Abdur Rahman bin Kamaluddin Abu Bakr bin Muhammad bin Saabiquddin. Beliau terkenal dengan gelaran Jalaluddin as-Sayuthi al-Mishri asy-Syafi`i al-Asy`ari. Biografinya telah dikenali ramai dan sungguh beliau adalah hujjah bagi kita.

Dalam kitabnya yang berjodol "Syarhu ash-Shuduur bi syarhi haali al mawtaa wa al-qubuur" pada "Bab fi qiraati al-Quran lil mayyiti aw 'ala al-qabr" halaman 405 menukilkan satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam Abul Qaasim Sa`ad bin 'Ali az-Zanjani rahimahUllah dalam kitab "Fawaaid"nya. Hadis tersebut berbunyi:-

"Sesiapa yang memasuki kawasan perkuburan, lalu membaca al-Fatihah, al-Ikhlas dan at-Takaatsur, kemudian berdoa: "Ya Allah, sesungguhnya telah aku jadikan pahala apa-apa yang telah aku baca dari kalamMu buat para penghuni kubur ini yang beriman baik lelaki maupun perempuan," maka jadilah mereka tersebut pemberi syafaat baginya di sisi Allah ta`ala."
Jika sekiranya Imam as-Sayuthi beranggapan bahawa hadis tersebut adalah palsu, maka sewajarnya beliau tidak menukilkannya dalam karyanya tersebut tanpa menerangkan statusnya sebagai palsu. Nampaknya hal ini tidak berlaku, jadi jelas bahawa Imam as-Sayuthi berpendapat bahawa hadis tersebut kalaupun bukan sahih tetapi ianya tidaklah palsu di sisi beliau. Faqih al-'Allaamah Habib Zain bin Ibrahim Bin Sumaith @ Habib Zainal 'Abidin al-'Alawi, juga telah menukilkan hadis di atas daripada karangan Imam as-Sayuthi tersebut dalam karyanya "al-Ajwibah al-Ghaaliyah fi 'aqiidah al-firqah an-naajiyah" pada halaman 111 - 112. Komentar beliau mengenai hadis ini ialah:- Hadis yang tersebut dan yang seerti dengannya, jika pun berdarjat dhaif, maka para ahli hadis telah menegaskan bahawasanya boleh beramal dengan hadis-hadis dhaif dalam perkara-perkara fadhoilul a'maal, dan yang sedemikian itu adalah daripadanya (yakni perkara membaca al-Quran buat si mati adalah sebahagian dari perkara fadhoilul a'maal).

Oleh itu, adalah tidak bijak bagi seseorang yang mengaku dirinya "sarjana" untuk menyalahkan, apatah lagi menyesatkan orang lain yang tidak sefaham dengannya dalam perkara khilafiyyah. Jika sarjana tersebut berpegang dengan imamnya yang menyatakan hadis tersebut sebagai mawdhu` @ palsu, maka kami katakan bahawa ahli hadis lain tidak sependapat dengannya. Jika si sarjana tersebut berhak berpegang dan beramal dengan pendapatnya, maka kenapa pula kami tidak berhak untuk berpegang dan beramal dengan apa yang kami yakini? Kenapa si sarjana tersebut beriya-iya hendak menghukum sesat dalam perkara khilafiyyah yang mempunyai sandaran di sisi para ulama, bahkan menjadi amalan zaman-berzaman dari kalangan ulama sehinggalah kalangan awam.

Akhirul kalam, sebagai penutup elok rasanya kita ketahui serba - sedikit mengenai Imam Abul Qaasim az-Zanjaani ini. Untuk itu ikhwah bolehlah buat rujukan kepada "Siyar A'laam an-Nubalaa`" karya Imam Syamsuddin Muhammad bin Ahmad bin 'Utsman adz-Dzahabi. Imam adz-Dzahabi dalam juzuk 18 mulai halaman 385 kitabnya tersebut, menyebut ulama kelahiran tahun 380H ini seperti berikut:-

Imam panutan, al-'Allaamah (seorang ulama yang benar-benar 'alim), al-Hafidz, al-Qudwah (Pimpinan yang dikuti umat) al-'Aabid (ahli ibadat), Syaikhul Haram (Syaikhnya Tanah Haram (Makkah), Abu al-Qaasim, Sa`ad bin 'ALi bin Muhammad bin 'Ali bin al-Husain, az-Zanjaani, ash-Shufi.

Allahu .... Allah, itu gelaran yang diberikan oleh Imam adz-Dzahabi kepada beliau, bukan sekadar predikat Dr. dari (with due respect) UKM. Imam adz-Dzahabi juga menukilkan kalam beberapa ulama yang memuji Imam Abul Qaasim az-Zanjaani, antaranya perkataan Abu Sa`ad yang menyatakan bahwa Sa`ad az-Zanjaani ini adalah seorang hafidz yang mutqin (teliti dan mendalam ilmu), seorang yang tsiqah, warak, banyak beribadah serta mempunyai tanda-tanda kekeramatan dan kemuliaan. Apabila beliau keluar ke Masjidil Haram, maka orang (kerana hormat kepadanya) akan mengosongkan tempat tawaf (untuk memudahkan beliau bertawaf) dan mereka lebih banyak mencium tangannya berbandingkan hajar al-aswad. Allahu ... Allah.... kemuliaan apa ini...... bisyarah baginya insya-Allah.

Ibnu Tahir pula menyebut bahawa dia tidak pernah melihat seseorang yang seumpamanya (yakni Abul Qaasim az-Zanjaani). Bahkan dia mendengar Abu Ishak al-Habaal berkata: "Belum pernah ada di dunia ini orang yang memiliki kelebihan seperti Sa`ad bin 'Ali". Disebut juga bahawa al-Faqih Hayyaaj bin 'Ubaid yang menjadi Imam Masjidil Haram dan muftinya yang antara amalannya ialah berumrah 3 kali setiap hari berkata: "Hari yang aku tidak melihat Sa`ad padanya, tidaklah kukira yang aku telah melakukan kebajikan pada hari tersebut".

Itulah antara pujian ulama terhadap beliau, justru janganlah kita bermudah-mudah untuk menghukum para ulama kita ini sebagai periwayat hadis palsu yang diancam dengan neraka oleh Junjungan Nabi s.a.w. Al-Fatihah buat sekalian ulama kita dengan harapan agar Allah memberikan sebaik-baik balasan terhadap segala amal dan jasa mereka buat umat ini. Yang tak sewaktu dengan kami berhubung hadiah pahala bacaan kepada si mati, bolehlah berdoa sahaja. Jangan marah-marah, berlapang dadalah sesama umat, sementelah lagi terhadap golongan majoriti.

Tiada ulasan: