Selasa, September 25, 2007

Perbanyakkanlah Sujud

Alhamdulillah, antara nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita dalam bulan yang berkat ini ialah amalan bertarawih yang biasanya dilakukan oleh masyarakat kita sebanyak 20 rakaat ditambah witir 3 rakaat menjadikannya 23 rakaat. Tahun ini angin ribut persoalan bilangan rakaat tarawih nampaknya tidak bertiup kencang kat tempat aku, mungkin masyarakat telah mulai faham letak kedudukan persoalan tersebut berkat hasil usaha para asatizah yang ikhlas dan penjelasan serta saranan Datuk Mufti kita.

Dalam tarawih 20 rakaat, kita melakukan 40 kali sujud, di mana sujud adalah situasi atau keadaan di mana kita dianggap paling hampir dengan Allah (yakni dengan rahmat dan keredhaanNya) sebagaimana dinyatakan oleh Junjungan Nabi s.a.w. dalam hadis baginda yang berbunyi:-

أقرب ما يكون العبد من ربه و هو ساجد فأكثروا الدعاء

Seseorang hamba itu berada dalam keadaan yang paling hampir dengan Tuhannya tatkala dia sujud, maka hendaklah kamu membanyakkan doa (padanya).
Selain dari itu, sujud juga menjadi sarana untuk mempertingkatkan darjat seseorang di sisi Allah s.w.t. serta menghapuskan dosa kesalahan kita. Junjungan Nabi s.a.w. menyatakan:-

إنك لن تسجد سجدة إلا رفعك الله بها درجة و حط عنك خطيئة

Sesungguhnya tidak engkau sujud dengan satu sujud melainkan diangkat engkau oleh Allah dengannya satu darjat dan dihapuskan daripadamu satu kesalahan.
Tatkala Sayyidina Rabi`ah bin Ka`ab r.a. memohon syafaat Junjungan Nabi s.a.w. untuk dapat bersama menemani baginda di syurga, maka Junjungan Nabi s.a.w. menasihatinya dengan sabdaan baginda:

أَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ
Tolonglah aku untuk dirimu dengan memperbanyakkan sujud (yakni engkau perbanyakkanlah sujud agar aku dapat mensyafaatimu untuk bersamaku di syurga).
Oleh itu kenapa kita hendak menghalang orang untuk memperbanyakkan sujudnya dalam bulan yang mulia ini ? Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita, puasa kita, sholat kita, ruku` kita, sujud kita dan doa kita. Moga segala sujud kita menjadi sebab bagi Allah untuk meninggikan darjat kita di sisiNya. Allahumma aamiiin.

Tiada ulasan: