Khamis, September 27, 2007

15 Ramadhan 1428

Sungguh dinihari
15 Ramadhan 1428 ini
Kan sentiasa kuingati

هذا من فضل ربي

Betapa tidak ianya diperingati
Tatkala aku mengenang pergi
Ulama penyeru kepada Ilahi
Pembela kebenaran Sunni
Buya al-Maliki yang disanjungi
Dikurniakan kepada diri
Anugerah Ilahi
Allahu Rabbi
Sebagai nikmat, sebagai ujian, sebagai amanah bagi diri
Moga dapat ku syukuri
Moga lulus ujian ku tempohi
Moga berjaya ku pikul amanah ini
Moga berkat Ramadhan melekat pada diri
Berkekalan sepanjang masa setiap ketika hingga ke mati

هذا من فضل ربي

Muhammad 'Alwi kuharapkan jadi fadhilat kelebihan Ilahi
Bagi diri, keluarga, anak dan isteri
Juga bagi sekalian umat Muhammadi
Kabul hendaknya wahai Rabbi

هذا من فضل ربي

Rabu, September 26, 2007

Haul Ke-3 Buya al-Maliki

15 Ramadhan 1428, genap 3 tahun pemergian al-marhum Prof. Dr. Habib Muhammad bin 'Alawi bin 'Abbas al-Maliki al-Hasani al-Makki, ulama besar Hijaz. Pemergian beliau meninggalkan kita dengan berbagai khazanah ilmu berupa karangan dan tulisan beliau, kecil besarnya mencecah lebih 100 karya berupa kitab, risalah dan artikel.

Selain kedalaman ilmunya dalam berbagai bidang, ketinggian akhlak serta kedermawanannya, beliau turut dikenali sebagai seorang ulama yang amat teguh pendiriannya dalam membela kebenaran Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Walaupun menerima tekanan keras daripada ulama-ulama rasmi Wahhabi yang diketuai oleh mufti Wahhabi waktu itu, Abdullah bin Baz, beliau tetap teguh dengan pendiriannya terhadap pegangan Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Berbagai upaya telah dilakukan oleh para ulama Wahhabi untuk menggugat beliau, namun semuanya sia-sia, bahkan dunia Islam bangkit menyatakan sokongan dan membela beliau. Hanya mereka-mereka yang hatinya punya penyakit yang terpedaya dengan tipu daya orang-orang yang hasad dan memusuhi beliau.

Kini telah 3 tahun beliau kembali ke rahmatUllah. Namun ingatan kepada ulama besar ini sentiasa segar dalam hati para murid beliau, bahkan hati sesiapa saja yang pernah meneguk kemanisan ilmu yang dicurahkan dalam tulisan-tulisan beliau. Antara karangan-karangannya ialah:-
  1. Mafahim yajibu an tushahhah (Salah faham yang mesti diluruskan) - karya beliau yang diberi pengiktirafan oleh ramai ulama dunia Islam yang berfaham Ahlus Sunnah wal Jama`ah.
  2. Manhaj as-Salaf fi fahm an-nushush bayna an-nazariyyah wath thathbiq (Manhaj Salaf dalam memahami nas-nas antara teori dan praktik);
  3. HuwaAlllah;
  4. Qul Hadzihi Sabili;
  5. at-Tahdziru minal mujaazafati fit takfir (Amaran / Kewaspadaan dari sembarangan mengkafirkan orang);
  6. al-Ghuluw wa atsaruhu fil irhaab wa ifsaad al-mujtama` (Fahaman yang melampau (ekstrem) dan kesannya dalam mencarik perpaduan dan merosakkan masyarakat);
  7. Tahqiiqul Aamal fiima yanfa`ul mayyita minal a'maal
  8. al-Qawa`idul Asaasiyyah fi 'Ulumil Quran;
  9. Wa Huwa bil ufuqil a'la;
  10. Zubdatul Itqaan;
  11. Anwarul Masaalik ila riwaayaat Muwaththa` Maalik;
  12. Tahqiq Muwaththa` al-Imam Maalik - Riwayat Ibni Qaasim;
  13. al-Manhalul Lathif fi ushul al-hadits asy-syarif;
  14. al-Qawaa`idul Asaasiyyah fi ilmi mushtholahil hadits;
  15. al-Thooli`us Sa`iid;
  16. al-`Iqdul Fariid;
  17. al-'Uquud al-Lu`luiyyah bil Asaaniid al-'Alawiyyah;
  18. al-Qawa`idul Asaasiyyah fi usuul al-fiqh;
  19. Syarh Mandhzumah al-Waraqaat;
  20. Muhammad s.a.w. al-Insan al-Kamil;
  21. Al-Bayan wat Ta'rif fi dzikra al-mawlid asy-syarif;
  22. Hawl al-ihtifal bi dzikra al-mawlid an-nabawi asy-syarif;
  23. Al-Madh an-Nabawi baynal ghulluw wal insaf;
  24. Al-Anwar al-Bahiyyah min Isra` wal Mi'raaj;
  25. Mafhum at-tatawwur wat tajdid fisy Syari`atil Islamiyyah;
  26. Adabul Islam fi Nizham al-Usrah;
  27. Kasyful Ghummah;
  28. al-Qudwah al-Hasanah fi manhajid da'wah ila Allah;
  29. al-Musytariqun bainal inshaf wal 'ashobiyyah (Orientalis : antara sederhana dan fanatik);
  30. Madza fi Sya`baan.
Mudah-mudahan Allah mencucurikan hujan rahmat dan kasih sayang ke atas beliau serta sekalian ulama dan sholihin juga sekalian umat. .. al-Fatihah.

Selasa, September 25, 2007

Perbanyakkanlah Sujud

Alhamdulillah, antara nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita dalam bulan yang berkat ini ialah amalan bertarawih yang biasanya dilakukan oleh masyarakat kita sebanyak 20 rakaat ditambah witir 3 rakaat menjadikannya 23 rakaat. Tahun ini angin ribut persoalan bilangan rakaat tarawih nampaknya tidak bertiup kencang kat tempat aku, mungkin masyarakat telah mulai faham letak kedudukan persoalan tersebut berkat hasil usaha para asatizah yang ikhlas dan penjelasan serta saranan Datuk Mufti kita.

Dalam tarawih 20 rakaat, kita melakukan 40 kali sujud, di mana sujud adalah situasi atau keadaan di mana kita dianggap paling hampir dengan Allah (yakni dengan rahmat dan keredhaanNya) sebagaimana dinyatakan oleh Junjungan Nabi s.a.w. dalam hadis baginda yang berbunyi:-

أقرب ما يكون العبد من ربه و هو ساجد فأكثروا الدعاء

Seseorang hamba itu berada dalam keadaan yang paling hampir dengan Tuhannya tatkala dia sujud, maka hendaklah kamu membanyakkan doa (padanya).
Selain dari itu, sujud juga menjadi sarana untuk mempertingkatkan darjat seseorang di sisi Allah s.w.t. serta menghapuskan dosa kesalahan kita. Junjungan Nabi s.a.w. menyatakan:-

إنك لن تسجد سجدة إلا رفعك الله بها درجة و حط عنك خطيئة

Sesungguhnya tidak engkau sujud dengan satu sujud melainkan diangkat engkau oleh Allah dengannya satu darjat dan dihapuskan daripadamu satu kesalahan.
Tatkala Sayyidina Rabi`ah bin Ka`ab r.a. memohon syafaat Junjungan Nabi s.a.w. untuk dapat bersama menemani baginda di syurga, maka Junjungan Nabi s.a.w. menasihatinya dengan sabdaan baginda:

أَعِنِّي عَلَى نَفْسِكَ بِكَثْرَةِ السُّجُودِ
Tolonglah aku untuk dirimu dengan memperbanyakkan sujud (yakni engkau perbanyakkanlah sujud agar aku dapat mensyafaatimu untuk bersamaku di syurga).
Oleh itu kenapa kita hendak menghalang orang untuk memperbanyakkan sujudnya dalam bulan yang mulia ini ? Mudah-mudahan Allah menerima segala amalan kita, puasa kita, sholat kita, ruku` kita, sujud kita dan doa kita. Moga segala sujud kita menjadi sebab bagi Allah untuk meninggikan darjat kita di sisiNya. Allahumma aamiiin.