Jumaat, Jun 22, 2007

Himbauan Ustaz Naufal

Dalam mukaddimah bagi karangannya yang sederhana tapi padat lagi berbobot dengan jodol "Jalan Nan Lurus : Sekilas Pandang Tarekat Bani 'Alawi", Ustaz Novel @ Naufal bin Muhammad al-'Aydrus menulis keprihatinannya mengenai musibah yang semakin berleluasa yang menimpa sebahagian generasi para Saadah 'Alawiyyin yang mulia. Aku rasa apa yang dinyatakan oleh Fadhilatul Ustaz tersebut sayogianya diberikan perhatian sewajarnya agar ianya tidak menjadi semakin parah yang mengakibatkan fitnah yang besar terhadap agama Islam yang mulia. Antara himbauan beliau :-

Dewasa ini tidak sedikit kaum 'Alawiyyin yang buta akan sejarah dan pandangan hidup leluhurnya. Mereka terbelenggu oleh kehidupan modern yang menggoda dan melalaikan. Keadaan ini diperburuk oleh sedikitnya buku-buku berbahasa Indonesia yang menjelaskan keluasan ilmu dan keindahan budi Bani 'Alawi. Akibatnya, mereka terseret arus dan memilih jalan hidup yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip kehidupan leluhurnya. Padahal, sebagai anak cucu Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam, mereka memiliki tanggungjawab yang jauh lebih besar dari umat Islam lainnya. Mereka membawa nama besar baginda Muhammad shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam. Seorang 'Alawi harus (baca: wajib menurut Bahasa Malaysia) benar-benar mengerti sejarah leluhurnya, pandangan dan jalan hidup mereka, sehingga ia dapat meneladani dan melanjutkan perjuangan mereka di dalam menebarkan ajaran mulia Rasulullah shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam.
Sambutlah seruan ini wahai ikhwah terutama sekali para Saadah yang mulia. Jangan biarkan kejahilan menjerumuskan kita kepada kesesatan. Kembalilah kepada i'tiqad, pegangan, jalan, mazhab para leluhur yang mulia daripada kalangan salafus sholeh yang menerima pegangan mereka secara ambilan generasi kemudian daripada generasi terdahulu sehingga kepada al-Jaddul Akbar an-Nabiyul Mukhtar shallallahu 'alaihi wa alihi wa shahbihi wa sallam. Pelajari dan pegang warisan para leluhur yang mulia ini, jangan ditukarkan dengan kesesatan para ahli bid`ah apa pun hiasan nama mereka. Bagi yang kurang berkemampuan untuk memahami kitab-kitab yang berbahasa 'Arab, jadikanlah buku Ustaz Naufal ini sebagai permulaan, di samping teruskan usaha untuk berjinak-jinak dengan majlis-majlis ilmu dan rohah para ulama dan muballigh yang berjalan atas jalan mereka. Mudah-mudahan Allah sentiasa memelihara kita agar tidak tersesat dari jalan yang lurus tinggalan para salafush sholeh terdahulu. Moga-moga Allah peliharakan Ustaz Naufal al-'Aydrus serta memanjangkan usianya untuk manfaat bagi ilmu dan umat.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

posting yg amat baik utk para 'alawi mahupun umat islam amnya. mdh2an dgn adanya posting mcm ni, kita masing2 mengenal diri. para 'alawi memikul tgjwab besar membawa nama rasulullah, mnkala org awam pula memikul tgjwab utk mencintai mereka sbg keturunan baginda.

sekurang2nya kita tahu kedudukan dan kewajipan masing2. jgn pula ada yg biadab terhadap nabi dgn menyakiti dan biadap terhadap keluarga baginda.

dan jgn pula ada yg lupa bhwa di dlm badannya terdapat DNA rasulullah, yg dgn 'ulahnya' akan menyedihkan baginda. bukanlah maksudku utk mengjar itik berenang, tp cintaku terhadap nama dan keluarga bagindalah yg memberanikan aku berkata demikian.

lama benor sidi bersafar..