Rabu, September 28, 2005

Pesan Pehin Mufti Brunei

Ikhwah, aku nukilkan satu pesanan yang ditulis dalam Buletin "al-Hadaf" yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, terbitan Safar - Rabi`ul Akhir 1424H dengan tajuk " Awas ! Sudah Ada Golongan Yang Tidak Mahu Menghormati Nabi ".
  • Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, Mufti Kerajaan mengingatkan umat Islam di negara ini agar berhati-hati terhadap golongan yang tidak mahu kita menghormati Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam terlalu tinggi. Golongan ini mempersoalkan sanjungan dan penghormatan yang kita berikan kepada Baginda. Mereka beranggapan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam itu adalah sama sahaja dengan kita manusia biasa. Ini hujjah orang-orang yang menyuruh kita membuang zikir Dibaie dan Syarafil Anam, kerana zikir-zikir itu sangat memuliakan dan sangat memuji Nabi. Perkara ini disentuh oleh Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin dalam rancangan Bersama Mufti sempena memperingati hari keputeraan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam yang telah dirakam di Darulifta Brunei Darussalam, pada hari Sabtu, 2 Rabiulawwal, 1424 bersamaan 3 Mei, 2003. Menurut Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin, adalah benar bahawa kejadian Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam itu sama dengan kita manusia, tetapi pangkat dan kemuliaannya adalah tidak sama. "Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam adalah seorang yang berpangkat, bukan calang-calang pangkat, mengapa kita tidak mahu mengakuinya? Bukankah memuji Baginda di dalam selawat dan zikir itu bermakna menghormati Baginda? Mengapa kita tidak mahu sedangkan Allah dan malaikat lagi menghormati Baginda?" Tegas Yang Dimuliakan Lagi Dihormati Pehin.

Tiada ulasan: