Sabtu, Julai 30, 2005

Taqlid - Pandangan Ulama 1


Syaikh Muhammad Amin al-Kurdi, seorang ulama Azhar yang masyhur, dalam kitabnya "Tanwirul Qulub fi Mu`amalati 'Allamil-Ghuyub" menyatakan antara lain:- " Dan antara yang wajib dipegang ialah bahawasanya para imam itu semuanya `udul, dan sesiapa yang bertaqlid kepada seseorang daripada mereka mendapat kejayaan .... dan yang masyhur di antara mereka ialah Abu Hanifah, Malik, asy-Syafi`i dan Ahmad r.'anhum, dan kesemua mereka adalah atas hidayah Allah. TAQLID KEPADA SEORANG DARIPADA MEREKA ADALAH FARDHU/WAJIB kerana firman Allah ta'ala: "Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang berilmu agama (ahli dzikr) jika sekiranya kamu tidak mengetahui" (an-Nahl:43), dan kerana sabda Junjungan s.a.w. : "Hendaklah kamu bertanya apabila kamu belum mengerti". Tidaklah harus bertaqlid kepada selain mereka (yakni kepada selain Imam mazhab 4 tersebut)....kerana mazhab-mazhab selain yang 4 tersebut tidak dibukukan (dengan sempurna) dan tidak dapat dipastikan dengan tepat (akan pendapat mereka)...Sesiapa yang tidak bertaqlid kepada salah seorang daripada mereka dan berkata bahawa "Aku beramal dengan al-Quran dan as-Sunnah" serta mendakwa telah memahami hukum-hakam terus daripada dua sember tersebut, maka tiada keselamatan baginya, bahkan dia bersalah lagi sesat-menyesatkan, terutama sekali di zaman ini yang telah merata kefasiqan dan banyaknya dakwaan-dakwaan batil, kerana dia telah menganggap dirinya lebih unggul daripada imam-imam tersebut sedangkan dia lebih rendah daripada mereka dari segi ilmu, amal, 'adalah dan al-'ithlaa'......."

Tiada ulasan: